Skip to main content

Gaya Hidup

Pelajar Malaysia curi tumpuan bertanjak di hari graduasi di Jerman

Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki berbangga menjadi anak Malaysia yang memakai busana kebangsaan lengkap berbaju Melayu, bersamping dan mengenakan tanjak daripada Tanjak Fansuri di hari graduasinya di Jerman, baru-baru ini, - Gambar Astro AWANI
Ahmad Taufeq Ismadi berbangga menjadi anak Malaysia yang memakai busana kebangsaan lengkap berbaju Melayu, bersamping dan mengenakan tanjak daripada Tanjak Fansuri di hari graduasinya di Jerman, baru-baru ini, - Astro AWANI

OFFENBURG: Seorang pelajar Malaysia mencuri tumpuan warga asing apabila tampil berbaju Melayu, bersamping dan lengkap bertanjak di hari graduasi beliau di Offenburg, Jerman baru-baru ini.

Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki, 27, dari Cheras, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya pelajar University of Applied Science Offenburg yang mengenakan busana tempatan pada hari bersejarah tersebut yang diadakan di Obereinhalle, Offenburg.

Seramai 200 pelajar berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan dirai dalam majlis graduasi itu yang turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa pelajar daripada pelbagai negara, pensyarah,tokoh akademik dan tetamu undangan lain.

Menurut Ahmad Taufeq Ismadi, tujuannya memakai busana tempatan itu didorong rasa kecintaan kepada negara serta warisan berharga yang dimiliki Malaysia.

"Mungkin setiap kita mempunyai cara tersendiri dalam mengekspresikan rasa kecintaan dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

"Begitu juga saya, amat bangga menggayakan baju Melayu, bersamping dan bertanjak di hari graduasi.

"Saya juga mengambil keputusan untuk berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan bertanjak ketka hari graduasi memandangkan universiti sendiri menghargai nilai kepelbagaian mengikut kewarganegaraan, etnik, jantina, agama, budaya, bahasa dan banyak lagi," kata beliau kepada Astro AWANI.

Menurutnya, di universiti dihadirinya, terdapat program kebudayaan "International Week" selama seminggu yang dikhususkan kepada pelajar antarabangsa untuk mempamerkan keunikan kebudayaan daripada negara masing-masing.

"Ketika International Week itu, saya sempat memasak Nasi Lemak, yang turut menjadi tumpuan. Nasi Lemak dihidangkan habis dalam masa 10 minit sahaja. Tetapi di hari graduasi pada 10 April 2026, saya sekali lagi memilih untuk menonjolkan imej Malaysia dengan mengenakan busana kebangsaan. Saya rasa bangga membawa nama Malaysia," kata beliau.

Ahmad Taufeq Ismadi menamatkan pengajian Ijazah Sarjana selama dua tahun dalam bidang Bioteknologi  dengan menyiapkan tesis bertajuk "Assesment of Municipal Waste Management Practices in Selangor in Comparison to EU Standards".

Beliau kini bekerja di sebuah syarikat GLC di Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, Ahmad Taufeq berkata, baju Melayu dan tanjak yang dipakainya telah menjadi topik perbualan dalam kalangan rakan sekelasnya serta pereka asing dan rata-rata memuji Malaysia kerana kaya dengan sejarah dan budaya.

Antara yang kagum dengan tanjak dipakainya ialah seorang pereka topi dari Perancis, Marie Francophonie yang turut hadir di majlis graduasinya.

"Marie terpesona dengan pembuatan tanjak yang disifatkannya sangat unik sebagai aksesori di kepala dengan pemilihan kain serta lipatan dalam penghasilannya. Beliau menganggap saya seperti seorang pahlawan muda sebagaimana bacaannya mengenai sejarah Malaysia," kata Ahmad Taufeq Ismadi berkongsi pujian pereka topi itu mengenai tanjak dipakainya.

Image
Pereka topi daripada Perancis, Marie Francophonie mendengar penjelasan daripada Ahmad Taufeq Ismadi mengenai keunikan tanjak yang dipakainya di hari graduasi di Offenburg, Jerman baru-baru ini. - Gambar Astro AWANI
Pereka topi daripada Perancis, Marie Francophonie mendengar penjelasan daripada Ahmad Taufeq Ismadi mengenai keunikan tanjak yang dipakainya di hari graduasi di Offenburg, Jerman baru-baru ini. - Astro AWANI

Begitu juga rakan-rakan sekuliah yang turut bertanyakan mengenai pakaiannya serta pembuatan tanjak,salah satu aksesor di kepala yang digayakannya pada hari graduasi.

“Saya cuma jawab bahawa pakaian saya membuktikan bahawa pelajar Malaysia di luar negara tidak pernah melupakan asal usul mereka.

“Anak muda Malaysia sayangkan negara mereka. Kami anak Malaysia. Kami amat berbangga menjadi rakyat Malaysia,” jelasnya.

Tanjak yang dipakai Ahmad Taufeq Ismadi dihasilkan oleh Mohd Sallehin Hussain, pemilik jenama Tanjak Fansuri.

Beliau berkongsi bahawa tanjak yang dipakai Ahmad Taufeq Ismadi itu hanya mengambil masa tiga hari untuk disiapkan.

"Saya cuma meminta warna baju Melayu dan samping yang bakal dipakai Ahmad Taufeq Ismadi, jadi saya sesuaikan dan hasilkan tanjak itu berdasarkan kepada warna baju Melayu dan samping beliau," ujar Mohd Sallehin.

Sebelum ini, bermula pada September 2023, tanjak yang dihasilkan Mohd Sallehin iaitu "Mahkota Alam" dipamerkan di State Museum of Oriental Art atau Muzium Negara Budaya Oriental, Moscow Rusia sebagai koleksi warisan dari Malaysia.

Ia diletakkan bersama-sama koleksi warisan dari Malaysia yang lain termasuk Baju Kurung, Keris, Kebaya dan Dokoh.

 

Must Watch Video