KOTA KINABALU: Cuaca panas dan kemarau yang melanda ketika ini dikenal pasti sebagai antara faktor yang mencetuskan pengaktifan virus Koi Herpesvirus (KHV) bawaan ikan koi, sekali gus mengancam populasi ikan pelian di sungai serta kawasan tagal di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata peningkatan suhu air sungai dalam tempoh dua hingga tiga minggu kebelakangan ini turut menyebabkan virus berkenaan menjadi lebih agresif menyerang spesies pelian.
Beliau berkata walaupun ikan koi dilepaskan ke sungai dengan tujuan mencantikkan kawasan tagal, namun tindakan itu adalah kesilapan yang menjejaskan aspek biosekuriti akuatik tempatan.
“Virus bawaan ikan koi ini hanya memberikan kesan kepada ikan pelian kerana kajian saintifik menunjukkan kedua-dua spesies ini berada dalam keluarga yang hampir sama. Jika tidak dibendung, ia dikhuatiri akan berlarutan,” katanya kepada Bernama.
Tagal, perkataan bahasa Kadazandusun bermaksud "jangan", ialah sistem pengurusan sumber asli tradisional di Sabah, yang melarang penangkapan ikan di zon sungai untuk tempoh masa tertentu bagi diternak, sebelum dituai bagi sumber makanan serta pendapatan kepada penduduk setempat.
Ikan pelian atau Tor douronensis adalah antara spesies ikan kelah tempatan yang terdapat di kawasan Borneo terutama Sabah dan Sarawak, serta sering diternak dalam tagal.
Mengulas usaha komuniti setempat membendung virus KHV, Jamawi berkata beliau meninjau komitmen penduduk Kampung Luanti, dekat Ranau, baru-baru ini, dalam usaha memelihara ikan pelian di kawasan mereka.
Jamawi berkata beliau dimaklumkan penduduk kampung itu menggunakan kaedah tradisional seperti bawang putih yang dipercayai dapat membantu mengurangkan kesan jangkitan virus berkenaan.
Usaha itu menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara dan memulihara spesies pelian daripada ancaman kepupusan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata pihaknya turut memantau kewujudan ikan bandar raya di beberapa sungai dan kawasan tagal di negeri ini kerana sebahagian tempat sudah menempatkan spesies berkenaan.
“Ikan bandar raya ini asalnya dipelihara dalam akuarium, namun ada individu yang melepaskannya ke sungai apabila tidak lagi mampu menjaganya, dan kini menjadi ancaman kepada ikan tempatan,” katanya.
Minggu lepas, Jabatan Perikanan Sabah telah mengeluarkan pekeliling khas kepada semua daerah bagi melaksanakan tindakan kawalan segera terhadap ancaman spesies ikan bukan endemik di negeri ini.
Langkah itu adalah sebahagian usaha berterusan bagi menangani kes kematian ikan pelian akibat jangkitan KHV, yang dilaporkan sejak 1 Ogos 2025.
-- BERNAMA