ISTANBUL: Ratusan pekerja Google mendesak ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu, Sundar Pichai supaya tidak membenarkan alat kecerdasan buatan (AI) syarikat itu digunakan oleh Pentagon dalam tetapan sulit, lapor Anadolu Ajansi.
Menerusi satu surat terbuka, pekerja dalam projek AI menyatakan kebimbangan mengenai perbincangan berterusan syarikat tersebut dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), dengan alasan teknologi itu tidak sesuai untuk "beban kerja terperingkat".
"Kami merasakan pengetahuan mendalam (proximity) kami tentang teknologi ini memberi kami tanggungjawab untuk mengetengahkan dan mencegah penggunaannya yang paling tidak beretika dan berbahaya," menurut surat berkenaan.
"Oleh itu, kami meminta anda untuk menolak menyediakan sistem AI kami untuk beban kerja terperingkat."
"Kami mahu melihat AI memberi manfaat kepada manusia", kata mereka dan menambah serta tidak digunakan dalam "cara yang tidak berperikemanusiaan atau sangat berbahaya".
"Sebagai individu yang bekerja dalam AI, kami tahu bahawa sistem ini 'membuat kesilapan'”, kata mereka.
Surat itu menyebut senjata autonomi maut dan pengawasan meluas sebagai contoh bagaimana AI boleh disalahgunakan.
Keputusan yang salah pada peringkat ini boleh menjejaskan reputasi, perniagaan dan kedudukan global Google secara serius, kata para pekerja berkenaan.
Google kini dalam perbincangan dengan Jabatan Pertahanan mengenai kemungkinan menggunakan AI untuk tugasan sulit, menurut laporan daripada The Information.
Pada awal tahun, OpenAI mencapai perjanjian dengan Pentagon yang termasuk perjanjian untuk tidak menggunakan teknologinya untuk pengawasan domestik berskala besar atau untuk mengawal senjata autonomi.
-- BERNAMA-ANADOLU