Skip to main content

Malaysia

Pemotong rumput warga Pakistan dipenjara 30 tahun, 12 sebatan kerana edar dadah

51733742339_TBGAVEL.jpg
Seorang pemotong rumput warga Pakistan dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah mengedar 1,404.3 gram dadah jenis kanabis pada 2020. - Foto hiasan

SHAH ALAM: Seorang pemotong rumput warga Pakistan dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 1,404.3 gram dadah jenis kanabis pada 2020.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memerintahkan Ali Sajjad, 34, menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 4 Dis 2020.

Dalam penghakimannya, Latifah berkata mahkamah mendapati pembelaan tertuduh hanyalah penafian semata-mata tanpa keterangan sokongan tentang dadah yang dijumpai bukan dalam milikan, jagaan dan kawalannya.

Beliau berkata sewaktu kes pembelaan hanya tertuduh memberi keterangan, manakala beberapa rakan yang dikatakan tinggal bersama tidak dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan dia tiada kaitan dengan dadah tersebut.

“Jumlah dadah 1,404.3 gram adalah jumlah yang besar dan walaupun tertuduh mengaku bahawa ganja dijumpai pada badan beliau adalah untuk kegunaan sendiri tetapi pembelaan gagal menyangkal anggapan pengedaran terhadap tertuduh. 

“Mahkamah turut mengambil kira bahawa dadah pada badan tertuduh itu dengan dadah yang dijumpai di unit (kediaman) adalah jenis sama iaitu kanabis,” kata hakim itu pada akhir kes pembelaan.

Ali didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Seri Kembangan pada 4 Dis 2020 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail memohon hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor keseriusan kes memandangkan dadah merupakan musuh nombor satu dalam negara ini dan tertuduh didakwa atas kesalahan mengedar. 

“Walaupun dikatakan tertuduh yang merupakan warga asing datang ke negara ini untuk mencari rezeki namun tertuduh tidak menghormati undang-undang Malaysia,” katanya.

Peguam Sarasmala Esprain yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya berpendapatan rendah sebagai pemotong rumput dan menanggung keluarga di Pakistan selain memberi kerjasama penuh sepanjang prosiding berlangsung dan menyesali perbuatan tersebut. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video