BANDAR SERI BEGAWAN: ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) diseru memainkan peranan sebagai tunjang kestabilan dan kebolehjangkaan global ketika konflik dunia semakin memuncak serta gangguan rantaian bekalan kian serius.
Seruan itu disuarakan Pengerusi Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-EU ke-25 (AEMM), iaitu Menteri Luar Kedua Brunei Datuk Seri Erywan Yusof dan Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Kaja Kallas.
Dalam ucapan pembukaan masing-masing, kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa pendekatan sedia ada tidak lagi mencukupi ketika dunia berdepan tekanan pelbagai aspek.
Erywan berkata komuniti global kini berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin ketara serta hakisan terhadap model global sedia ada.
Beliau berkata peningkatan ketegangan dan konflik kini mengganggu rantaian bekalan, menjejaskan kestabilan pasaran tenaga serta meningkatkan kos barangan keperluan di seluruh dunia.
“Aturan antarabangsa berasaskan sistem yang kita bincangkan hari ini tidak terbentuk secara kebetulan. Ia perlu dibina atas keyakinan bahawa negara akan bertindak secara bertanggungjawab, menghormati komitmen dan berinteraksi secara setara dalam satu sistem bersama. Hari ini, asas itu sedang tertekan,” katanya.
Turut hadir Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mesyuarat AEMM ke-25 berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini, dengan Brunei selaku Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-EU bagi tempoh 2024–2027.
Mengulas lanjut, Erywan berkata ASEAN dan EU perlu memperkukuh kerjasama secara lebih tersusun dan berwawasan bagi menangani cabaran semasa.
“Sebagai organisasi yang menjunjung undang-undang antarabangsa dan prinsip multilateralisme, kita mempunyai tanggungjawab serta keupayaan untuk bertindak sebagai tunjang kestabilan dan kebolehjangkaan,” katanya.
Kallas turut menekankan keadaan mendesak itu dengan menyatakan dunia kini diuji pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, sambil menegaskan konflik berterusan di Asia Barat telah mencetuskan krisis tenaga global.
Beliau berkata walaupun tiada negara yang terkecuali, ekonomi negara Asia Tenggara antara yang paling terjejas apabila konflik itu meningkatkan kos tenaga, makanan, baja dan pengangkutan, sekali gus menyumbang kepada inflasi serta memperlahankan pertumbuhan ekonomi.
Kallas turut menyatakan konflik berterusan Rusia terhadap Ukraine terus menghakis asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagi menangani ancaman itu, beliau menggesa kerjasama strategik yang jelas dari segi visi dan tindakan.
“Dalam dunia yang ditakrifkan oleh persaingan geopolitik yang semakin sengit, EU dan ASEAN tidak boleh berpecah.
"Kita perlu bersama mempertahankan Piagam PBB, multilateralisme dan sistem antarabangsa berasaskan peraturan,” kata beliau.
Walaupun perdagangan kekal sebagai asas kukuh, dengan EU berfungsi sebagai rakan dagang ketiga terbesar ASEAN serta kemajuan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas dengan negara seperti Malaysia, Thailand dan Filipina, Kallas menegaskan hubungan ekonomi sahaja tidak mencukupi.
“Keselamatan kini tidak boleh dipisahkan daripada kemakmuran. Kita perlu memberi lebih tumpuan kepada aspek keselamatan kerana peperangan dan ancaman tidak mengenal sempadan,” kata Kallas.
Beliau turut menekankan keperluan tindakan kolektif bagi menangani cabaran moden termasuk keselamatan siber, penyalahgunaan kecerdasan buatan, perlindungan infrastruktur dasar laut serta keselamatan maritim.
Menjelang ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-EU pada 2027, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk meningkatkan hubungan sedia ada kepada Perkongsian Strategik Komprehensif yang lebih stabil, boleh diramal dan diyakini.
-- BERNAMA