BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel memberi jaminan, Patriark Latin Jerusalem kini akan diberikan “akses penuh dan segera” ke gereja makam suci selepas pihak polis sebelum ini menghalang beliau daripada mengadakan Misa Ahad Palma di lokasi berkenaan.
Menurut Benjamin Netanyahu, Kardinal Pierbattista Pizzaballa telah diminta supaya tidak memasuki gereja itu sebelum ini atas faktor keselamatan.
Dakwa beliau, Iran berulang kali menyasarkan tapak suci di Jerusalem dengan peluru berpandu balistik.
Keputusan untuk menghalang kardinal berkenaan memasuki lokasi paling suci dalam agama Kristian itu telah mendapat kritikan daripada beberapa negara Barat.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee, menyifatkan tindakan itu sebagai satu “tindakan berlebihan yang malang” dan “sukar difahami atau dibenarkan”.
Menurut pihak berkuasa gereja, Kardinal Pizzaballa dan Reverend Francesco Ielpo telah ditahan di luar gereja ketika mereka merancang untuk mengadakan Misa bagi menandakan permulaan Minggu Suci.
Pejabat Kardinal Pizzaballa berkata ia merupakan “kali pertama dalam tempoh berabad-abad” seorang Patriark Latin dihalang memasuki tapak suci itu pada Hari Ahad Palma.
Netanyahu berkata penganut “semua agama” telah diminta untuk tidak melawat tapak-tapak suci di Kota Lama Jerusalem yang menjadi sasaran serangan Iran, dan pihak polis bertindak berdasarkan kebimbangan keselamatan “istimewa” dalam kes ini.
Perarakan tradisi Ahad Palma ke dalam kota itu telah pun dibatalkan lebih awal akibat sekatan ke atas perhimpunan awam.
Polis Israel berkata semua tapak suci di Kota Lama telah ditutup kepada penganut sejak perang AS-Israel menentang Iran bermula pada 28 Februari atas alasan keselamatan, dan ia telah menolak permintaan patriarkat untuk pengecualian bagi Hari Ahad Palma.
Netanyahu berkata tapak-tapak suci bagi penganut Kristian, Yahudi dan Islam telah “berulang kali disasarkan” oleh serangan peluru berpandu Iran sejak beberapa hari lalu.
“Dalam satu serangan, serpihan peluru berpandu jatuh beberapa meter dari gereja makam suci” katanya melalui kenyataan di X, sambil menambah bahawa keputusan hari Ahad itu “tidak mempunyai sebarang niat jahat.”
Beliau berkata, satu pelan sedang dirangka bagi membolehkan pemimpin gereja beribadat di tapak berkenaan dalam beberapa hari akan datang.
Kemudian, lewat malam Ahad, Netanyahu mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk memberikan Patriark Latin “akses penuh dan segera” ke gereja makam suci supaya beliau boleh “mengadakan upacara seperti yang diingini.”
Huckabee menyatakan bahawa kedua-dua pendeta itu telah cuba memasuki gereja secara peribadi tanpa perarakan, dan bahawa peraturan semasa hanya melibatkan perhimpunan keagamaan lebih 50 orang.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, berkata tindakan itu merupakan “satu penghinaan bukan sahaja terhadap penganut agama tetapi terhadap setiap komuniti yang mengiktiraf kebebasan beragama”, manakala Menteri Luar Antonio Tajani berkata, beliau telah memanggil duta Israel ke Itali untuk mendapatkan penjelasan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut mengutuk tindakan itu dan menyatakan ia berlaku dalam konteks “peningkatan membimbangkan terhadap pelanggaran status tempat-tempat suci di Jerusalem.”
“Kebebasan untuk mengadakan upacara keagamaan di Jerusalem mesti dijamin untuk semua agama,” katanya dalam kenyataan di X.
Pope Leo XIV, ketika berucap di Rom pada hari Ahad, memberi penghormatan kepada “penganut Kristian di Asia Barat, yang menanggung akibat konflik dahsyat dan dalam banyak kes tidak dapat melaksanakan sepenuhnya upacara suci pada hari-hari ini”.
Presiden Israel, Isaac Herzog berkata beliau telah menghubungi Kardinal Pizzaballa untuk menyuarakan “kesedihan mendalam” atas “insiden yang malang” itu.
Beliau turut menegaskan “komitmen teguh Israel terhadap kebebasan beragama bagi semua penganut dan pemeliharaan status quo di tapak-tapak suci Jerusalem.” - Agensi