Skip to main content

Dunia

Parlimen Israel lulus belanjawan negara 2026 dengan peningkatan besar perbelanjaan ketenteraan

Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu and Israel's far-right National Security Minister Itamar Ben-Gvir shake hands as they attend a session at the Knesset, Israeli parliament, in Jerusalem March 29, 2026 REUTERS/Oren Ben Hakoon ISRAEL OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN ISRAEL TPX IMAGES OF THE DAY
Netanyahu dan Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan, Itamar Ben‑Gvir, bersalaman ketika menghadiri satu sesi di Knesset, parlimen Israel, di Baitulmaqdis. - Foto REUTERS

BAITULMAQDIS: Parlimen Israel, Knesset, meluluskan belanjawan negara 2026 yang memperuntukkan peningkatan besar dalam perbelanjaan ketenteraan, menurut seorang jurucakap parlimen itu.

Kelulusan belanjawan tersebut dijangka membolehkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengelakkan pilihan raya awal ketika perang dengan Iran masih berlarutan.

Di bawah belanjawan baharu itu, peruntukan ketenteraan Israel akan meningkat lebih AS$10 bilion, menjadikannya melebihi AS$45 bilion.

Jumlah itu adalah lebih daripada dua kali ganda peruntukan pada 2023, sebelum bermulanya perang di Gaza.

Secara keseluruhan, belanjawan negara Israel bagi 2026 dianggarkan berjumlah sekitar AS$245 bilion, mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap keselamatan nasional di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak.

Sebelum undian dijalankan, Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, menyifatkan belanjawan berkenaan sebagai satu “titik perubahan bersejarah” bagi Israel.

“Kita mempunyai keupayaan untuk membentuk semula Asia Barat. Belanjawan ini meletakkan negara pada kedudukan untuk menang,” kata Smotrich.

Beliau turut menegaskan bahawa belanjawan itu diluluskan di bawah sebuah kerajaan sayap kanan yang komited untuk menamatkan penggalnya serta melaksanakan agenda utama dalam bidang keselamatan, ekonomi dan pembaharuan kehakiman.

Kelulusan belanjawan itu dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan kestabilan politik kerajaan campuran Netanyahu, selain mencerminkan peralihan keutamaan perbelanjaan negara ke arah pertahanan dan keselamatan ketika Israel berdepan konflik berterusan di peringkat serantau.
 

Must Watch Video