KAHERAH: Parlimen Arab mengecam serangan terang-terangan Iran yang menyasarkan fasiliti minyak dan industri di beberapa negara Teluk, menyifatkannya sebagai peningkatan ketegangan yang berbahaya dan tidak pernah berlaku sebelum ini, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Ia menyatakan bahawa serangan itu merupakan perkembangan yang amat berbahaya yang mengancam keselamatan serta kestabilan rantau ini dan mendedahkan keselamatan tenaga global kepada risiko yang serius.
Dalam satu kenyataan, Speaker Parlimen Arab Mohammed Al Yamahi menegaskan bahawa tindakan bermusuhan itu merupakan pencabulan jelas terhadap prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang melarang sasaran terhadap fasiliti awam dan ekonomi.
Beliau juga menekankan bahawa tindakan menyasarkan infrastruktur minyak dan industri bukan sahaja satu pencerobohan terhadap kedaulatan negara Arab, tetapi juga ancaman langsung kepada kestabilan pasaran tenaga global, sekali gus menjejaskan usaha antarabangsa yang bertujuan menjamin keselamatan bekalan.
Al Yamahi mengulangi solidariti penuh Parlimen Arab dengan negara Arab Teluk dan sokongannya terhadap semua langkah sah yang diambil oleh negara berkenaan bagi melindungi kedaulatan, keselamatan, serta memelihara sumber dan fasiliti penting mereka.
-- BERNAMA-SPA