PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengucapkan selamat menyambut perayaan Nowruz kepada rakyat Iran walaupun serangan roket masih dilancarkan ke arah Republik Islam itu.
Netanyahu berkata sambutan tersebut melambangkan kepercayaan tradisional rakyat Iran yang menganggap cahaya akan mengalahkan kegelapan.
“Kepada rakyat Iran yang berani saya ingin mengucapkan selamat menyambut musim perayaan yang bermula dengan Festival Cahaya.
“Semoga tahun ini membawa kebebasan, permulaan baharu, dan harapan kepada anda semua, sahabat-sahabatku yang dikasihi,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan oleh pejabatnya pada Selasa.
Bagaimanapun ada dalam kalangan pengguna media sosial mendakwa rakaman tersebut hasil janaan kecerdasan buatan (AI).
Nowruz yang bermaksud hari baharu merupakan perayaan tahun baharu tradisional yang disambut oleh rakyat Iran pada 20 atau 21 Mac.
Untuk rekod sejak 7 Mac, Netanyahu tidak membuat kemunculan di khalayak ramai dan kebanyakan video beliau merupakan rakaman tanpa melibatkan pengamal media.
Sejak 28 Februari lalu, Israel dan sekutunya Amerika Syarikat telah melancarkan serangan terhadap beberapa wilayah di Iran menyebabkan 1,444 warganya terkorban manakala 18,551 mengalami cedera parah.