Skip to main content

Dunia

Misi Artemis II masuk sfera graviti bulan, atasi rekod Apollo 13

NASA astronaut and Artemis II Commander Reid Wiseman peers out of one of the Orion spacecraft's main cabin windows, looking back at Earth, as the crew travels towards the Moon April 2, 2024. NASA/Handout via REUTERS. THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY.
Kapal angkasa Orion yang membawa kru Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch serta angkasawan Kanada, Jeremy Hansen dijangka mencapai jarak maksimum kira‑kira 406,773 kilometer dari Bumi pada 7.05 pagi Selasa (waktu Malaysia). -Gambar Reuters

HOUSTON: Empat angkasawan misi Artemis II secara rasmi memasuki sfera pengaruh graviti bulan awal pagi Isnin dan kini menghampiri rekod jarak paling jauh manusia pernah mengembara dari Bumi.

Kapal angkasa Orion yang membawa kru Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch serta angkasawan Kanada, Jeremy Hansen dijangka mencapai jarak maksimum kira‑kira 406,773 kilometer dari Bumi pada 7.05 pagi Selasa (waktu Malaysia).

Pencapaian itu bakal memecahkan rekod jarak terjauh manusia selama 56 tahun yang dipegang oleh misi Apollo 13 pada 1970, dengan perbezaan sekitar 6,600 kilometer.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Orion memasuki zon di mana tarikan graviti bulan lebih kuat berbanding Bumi pada jam 12.37 tengah hari Isnin (waktu Malaysia).

Kapal angkasa itu menggunakan trajektori free‑return, yang membolehkan kru mengelilingi bahagian belakang bulan sebelum kembali ke Bumi tanpa memerlukan pembakaran enjin utama di orbit bulan.

Sepanjang tempoh tersebut, kru dijadual meluangkan kira‑kira enam jam mendokumentasi permukaan bulan, termasuk kawasan kawah gergasi Orientale Basin.

Bagaimanapun, hubungan komunikasi dengan Pusat Kawalan Misi di Houston dijangka terputus selama kira‑kira 40 minit apabila Orion berada di bahagian belakang bulan yang terlindung daripada isyarat Bumi.

Misi ujian selama kira‑kira 10 hari ini merupakan penerbangan berawak pertama di bawah program Artemis, yang menyasarkan penghantaran semula manusia ke permukaan bulan pada 2028.

Selepas melengkapkan penerbangan lintasan bulan, kru Artemis II dijadualkan mendarat di Lautan Pasifik pada 10 April ini.

Must Watch Video