Skip to main content

Dunia

Meta, YouTube didapati bersalah sebabkan ketagihan media sosial

Meta’s Mark Zuckerberg arrives to court to testify at youth addiction trial
Mark Zuckerberg tiba di mahkamah untuk memberi keterangan dalam perbicaraan berkaitan ketagihan remaja. - Gambar Reuters

NEW YORK: Barisan juri di California mendapati Meta dan YouTube bersalah atas semua pertuduhan dalam kes berprofil tinggi yang menuduh gergasi teknologi itu sengaja menyebabkan ketagihan kepada seorang wanita muda dan mencederakan kesihatan mentalnya.

Juri mendapati, Meta dan YouTube cuai dalam reka bentuk platform mereka, mengetahui reka bentuk itu berbahaya, gagal memberi amaran tentang risiko tersebut dan menyebabkan kemudaratan besar kepada plaintif.

Keputusan ini berpotensi menjadi preseden untuk ratusan kes serupa dan mungkin membawa perubahan besar kepada cara platform media sosial beroperasi terutamanya untuk pengguna muda serta kerugian berjuta-juta atau berbilion dolar kepada syarikat teknologi. 

Kes ini juga menandakan detik penting bagi media sosial, selepas bertahun-tahun kebimbangan ibu bapa, aktivis dan penggubal undang-undang mengenai bahaya dalam talian terhadap kanak-kanak, daripada isu kesihatan mental hingga eksploitasi seksual.

Seorang wanita dari California yang kini berusia 20 tahun bernama Kaley, bersama ibunya, menyaman Meta, YouTube milik Google, Snap dan TikTok, menuduh mereka sengaja menjeratnya ketika masih kanak-kanak hingga menyebabkan dia mengalami keresahan, dismorfia tubuh dan pemikiran untuk bunuh diri. 

Snap dan TikTok menyelesaikan kes sebelum perbicaraan bermula.

Juri bermesyuarat selama lebih lapan hari selepas perbicaraan tujuh minggu di Mahkamah Tinggi Los Angeles. 

Mereka memerintahkan syarikat-syarikat itu membayar sejumlah AS$3 juta sebagai ganti rugi pampasan.

Juri turut mengesyorkan YouTube membayar AS$900,000 sebagai ganti rugi punitif, menurut jurucakap Google dan AS$2.1 juta dalam ganti rugi punitif daripada Meta, menurut jurucakap Meta.

Juri turut mendapati, Meta menanggung 70 peratus tanggungjawab terhadap kemudaratan Kaley, manakala YouTube pula sebanyak 30 peratus.

Kaley berada di mahkamah untuk mendengar keputusan itu, bersama ibu bapa remaja lain yang mendakwa anak mereka turut terkesan oleh media sosial.

Seorang jurucakap Meta berkata, syarikat itu akan mempertimbangkan langkah seterusnya: “Kami tidak bersetuju dengan keputusan itu dan akan membuat rayuan,” katanya. 

“Kesihatan mental remaja sangat kompleks dan tidak boleh dikaitkan kepada satu aplikasi sahaja.”

Google juga berkata mereka akan merayu keputusan tersebut: “Keputusan ini merupakan salah tafsir tentang YouTube, yang merupakan platform penstriman yang dibina secara bertanggungjawab, bukan laman media sosial,” kata jurucakap Jose Castaneda.

Ratusan lagi saman menanti

Meta dan YouTube sebelum ini menafikan dakwaan saman dan menolak idea bahawa platform mereka boleh menyebabkan ketagihan. 

Mereka merujuk kepada ciri keselamatan yang mereka perkenalkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti alat kawalan ibu bapa serta sekatan kandungan dan privasi untuk remaja.

Kes Kaley ialah yang pertama daripada lebih 1,500 kes serupa yang dibawa ke mahkamah terhadap syarikat media sosial. 

Keputusan pada Rabu itu tidak menentukan kes lain tetapi boleh mempengaruhi penyelesaiannya. 

Kekalahan berulang boleh menyebabkan syarikat teknologi menanggung kerugian berbilion dolar dan memaksa mereka mengubah platform mereka.

Syarikat-syarikat itu juga dijangka berdepan perbicaraan akhir tahun ini dalam ratusan lagi saman oleh daerah sekolah dan peguam negara dari seluruh Amerika Syarikat — satu gelombang tindakan undang-undang yang dilihat sesetengah pihak sebagai detik “Big Tobacco” untuk Big Tech.

Keputusan ada Rabu itu hadir sehari selepas juri di New Mexico mendapati Meta bersalah melanggar undang-undang perlindungan pengguna negeri itu dan gagal melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual.

Titik perubahan media sosial

Keputusan ini merupakan detik penting bagi keluarga dan aktivis yang selama bertahun-tahun menuntut lebih banyak perlindungan media sosial. 

Ibu bapa yang mendakwa anak mereka cedera atau meninggal dunia akibat media sosial datang dari seluruh Amerika untuk menghadiri perbicaraan di Los Angeles.

Ramai berharap keputusan ini mendorong Kongres menggubal undang-undang keselamatan dalam talian yang lebih komprehensif.

James Steyer, pengasas dan CEO Common Sense Media, berkata: “Gergasi media sosial tidak akan berdepan perbicaraan jika mereka mengutamakan keselamatan kanak-kanak berbanding penglibatan pengguna. Sebaliknya, mereka menyembunyikan kajian dalaman yang menunjukkan kanak-kanak sedang terjejas.”

Kaley - yang hanya dirujuk dengan nama pertamanya kerana insiden berlaku ketika dia masih bawah umur menjelaskan di mahkamah bagaimana ketagihannya masih menjejaskan hidupnya sebagai orang dewasa, membuatkan dia terpaksa mencuri masa daripada kerja semata-mata untuk memberi tumpuan pada media sosial dan menghabiskan masa berjam-jam mengubah penampilan menggunakan aplikasi penapis.

Meta pula berhujah, masalah kesihatan mental Kaley berpunca daripada zaman kanak-kanak yang sukar, bukan media sosial. 

Namun peguam Kaley, Mark Lanier berkata, keadaan itu sepatutnya menjadikan syarikat lebih bertanggungjawab melindungi kanak-kanak.

Sementara hujah YouTube pula, rekod akaun Kaley menunjukkan dia hanya menggunakan platform itu dalam tempoh singkat setiap hari, bercanggah dengan dakwaan ketagihan. 

Namun Lanier menegaskan, seperti ramai kanak-kanak lain, Kaley sering menggunakan YouTube tanpa log masuk.

Perbicaraan turut mendengar keterangan daripada eksekutif tertinggi, termasuk CEO Meta Mark Zuckerberg, ketua Instagram Adam Mosseri dan Naib Presiden Kejuruteraan YouTube Cristos Goodrow. 

Mosseri mengakui, penggunaan media sosial boleh menjadi “bermasalah” tetapi bukan “ketagihan klinikal.” 

Goodrow pula berkata, anak-anaknya sendiri menggunakan YouTube selama berjam-jam setiap hari dan beliau percaya ia “baik” untuk mereka.

Dokumen dalaman yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan usaha syarikat untuk menarik pengguna muda, termasuk bagaimana Meta memutuskan untuk membenarkan penapis “kecantikan” yang mengubah rupa pengguna walaupun pekerja dan 18 pakar memberi amaran tentang risikonya. - Agensi

Must Watch Video