KARACHI: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi bertemu Panglima Tentera Pakistan Fil Marsyal Asim Munir di Islamabad pada Sabtu, ketika usaha sedang digerakkan untuk menghidupkan semula rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menamatkan perang, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pertemuan itu, menurut video ringkas yang dimuat naik oleh Kedutaan Iran di platform X turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Pakistan Mohsin Naqvi, Penasihat Keselamatan Negara merangkap Ketua Perisikan Antara Perkhidmatan Lt. Jen. Asim Malik, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei dan Duta Iran Reza Amiri Moghadam.
Walaupun kedutaan tidak memberikan butiran lanjut, sumber Pakistan memberitahu Anadolu bahawa kedua-dua pihak membincangkan perkara berkaitan kemungkinan pusingan kedua rundingan antara Washington dan Tehran dalam beberapa hari akan datang.
Araghchi tiba di Pakistan lewat Jumaat bagi lawatan yang menurut pegawai Pakistan boleh membuka laluan kepada pusingan kedua rundingan.
Pusingan pertama diadakan di Islamabad dua minggu lepas, namun gagal mencapai persetujuan.
Rundingan itu diadakan selepas Pakistan menjadi pengantara gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April, yang kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden AS Donald Trump.
Araghchi juga dijadual mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Shehbaz Sharif dan Menteri Luar Ishaq Dar.
Sementara itu, Rumah Putih berkata utusan khas AS Steve Witkoff dan penasihat Jared Kushner juga akan ke Pakistan pada Sabtu.
Iran menolak untuk mengadakan rundingan langsung dengan AS dan berkata pandangannya akan disampaikan kepada Pakistan.
-- BERNAMA-ANADOLU