KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik seruan kekangan yang muncul daripada kepimpinan tertinggi Iran susulan konflik berterusan di rantau Teluk dan Asia Barat, sambil menegaskan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan serta mengelakkan eskalasi lebih besar.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, seruan tersebut selari dengan pendirian dwipartisan yang diambil oleh Parlimen Malaysia sebelum ini, dan wajar diberi perhatian serius serta dihormati oleh semua pihak.
"Dalam situasi konflik, sentiasa wujud suara yang mendesak tindakan lebih keras, namun sejarah menunjukkan pendekatan meningkatkan ketegangan jarang membawa hasil yang baik, khususnya apabila ruang dialog masih terbuka.
“Memastikan pintu rundingan terus terbuka memerlukan keberanian yang sebenar,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di akaun media sosial, pada Isnin.
Pada masa sama, Anwar menyifatkan keadaan semasa sebagai amat membimbangkan apabila beberapa negara di rantau Teluk termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dilaporkan berdepan serangan berulang.
Beliau berkata, keganasan itu turut merebak ke negara lain seperti Azerbaijan, Jordan dan Turkey dengan beberapa kemudahan penting termasuk fasiliti tenaga, pemasangan air serta infrastruktur awam yang menjadi kebergantungan jutaan penduduk turut menjadi sasaran.
Menurutnya lagi, laluan utama minyak dan perkapalan dunia melalui perairan tersebut, justeru sebarang gangguan boleh memberi kesan besar bukan sahaja kepada rantau berkenaan malah kepada ekonomi global.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan, Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha yang berwibawa ke arah mencapai penghentian konflik melalui rundingan.
Beliau turut menggesa komuniti antarabangsa bertindak segera dan dengan tujuan jelas bagi mengelakkan konflik itu meragut lebih banyak nyawa serta menarik lebih banyak negara ke dalam kancah pertikaian tersebut.