NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebulat suara mengutuk insiden yang mengorbankan tiga anggota pengaman Indonesia daripada Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan bersama, kesemua 15 anggota majlis itu menzahirkan kekesalan terhadap siri serangan di selatan Lubnan yang berlaku ketika situasi pertempuran di sepanjang ‘Garisan Biru’ semakin memuncak.
Majlis berkenaan turut memberi penghormatan di atas dedikasi dan pengorbanan semua anggota pengaman PBB yang mempertaruhkan nyawa demi mengekalkan keamanan antarabangsa, lapor Al Jazeera.
Kenyataan tersebut turut menegaskan sokongan penuh Majlis Keselamatan terhadap peranan UNIFIL serta komitmen berterusan mereka terhadap kedaulatan, kemerdekaan, integriti wilayah dan perpaduan Lubnan.
Selain merakamkan ucapan takziah, ahli majlis termasuk Amerika Syarikat (AS) turut mendoakan kesembuhan segera anggota yang cedera dalam insiden berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi itu tidak menamakan mana-mana pihak sebagai bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, selain tidak menyebut penglibatan Israel atau Hezbollah yang terlibat dalam pertempuran di kawasan berkenaan.
Pendekatan itu dilihat sebagai langkah diplomatik bagi mengekalkan kestabilan misi pengaman PBB di zon konflik.
Terdahulu, kerajaan Indonesia mengesahkan kematian tiga anggota pengamannya akibat serangan artileri dan letupan di selatan Lubnan, selain menggesa siasatan telus dijalankan oleh PBB bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.