Skip to main content

Dunia

Mahkamah Kenya lanjut tempoh gantung kemudahan Ebola AS selama tiga minggu

Women dressed in scrubs walk along the street as demonstrators participate during a protest against a U.S.-backed Ebola quarantine plan on the establishment of a 50-bed facility at a Kenyan air force base that was intended to host Americans exposed to Ebola, in Nanyuki town, in Laikipia County, Kenya June 1, 2026. REUTERS/John Muchucha REFILE - QUALITY REPEAT
Wanita berpakaian seragam perubatan berjalan di sepanjang jalan ketika para penunjuk perasaan menyertai protes menentang pelan kuarantin Ebola yang disokong oleh Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

NAIROBI: Sebuah mahkamah di Kenya pada Selasa melanjutkan  tempoh penggantungan sebuah kemudahan kuarantin Ebola milik Amerika Syarikat (AS) di Pangkalan Udara Laikipia selama tiga minggu lagi, lapor Anadolu Ajansi.

Mahkamah turut mengarahkan pihak kerajaan untuk mendedahkan perjanjian di sebalik projek berkenaan yang telah mencetuskan protes sehingga mengorbankan dua nyawa.

Hakim Patricia Nyaundi mengeluarkan perintah itu selepas mendapati isu-isu yang dibangkitkan dalam petisyen perlembagaan bagi mencabar kewujudan kemudahan berkenaan memerlukan pertimbangan lanjut sebelum projek itu dibenarkan beroperasi.

Hakim itu mengarahkan pihak kerajaan untuk mendedahkan kepada umum dokumen perjanjian serta dokumen berkaitan yang menjadi asas kepada penubuhan kemudahan Ebola berkenaan sebelum pendengaran mahkamah yang seterusnya.

Selain itu, mahkamah turut melanjutkan perintah sekatan terhadap pembinaan dan operasi kemudahan berkenaan, termasuk larangan kemasukan individu yang terdedah kepada virus Ebola, sementara menunggu prosiding lanjut.

Kes itu difailkan oleh Institut Katiba iaitu sebuah badan pemantau tadbir urus dan perlembagaan Kenya, yang berhujah bahawa projek berkenaan menimbulkan kebimbangan dari sudut undang-undang, kesihatan awam serta perlembagaan, dan tidak sepatutnya diteruskan tanpa ketelusan dan penglibatan orang awam.

Keputusan mahkamah itu dibuat sehari selepas ratusan penduduk dan golongan belia mengadakan protes di luar kemudahan berkenaan di Nanyuki, yang terletak kira-kira 200 kilometer ke utara ibu negara Kenya, Nairobi.

Pihak AS mempertahankan perjanjian berkenaan melalui kenyataan Pejabat Jeremy P. Lewin iaitu Setiausaha Rendah AS bagi Bantuan Asing, Hal Ehwal Kemanusiaan dan Kebebasan Beragama, yang menyatakan bahawa Washington mengambil maklum akan tindakan mahkamah itu dan kekal optimis bahawa kebimbangan yang berbangkit dapat diselesaikan melalui rundingan dengan pihak berkuasa Kenya.

Kenya setakat ini belum merekodkan sebarang kes Ebola, namun pegawai kesihatan telah mempertingkat langkah pengawasan dan saringan di lapangan terbang, pintu sempadan serta kemudahan kesihatan bagi memantau penularan wabak itu di peringkat wilayah.

Komen yang dizahirkan oleh Presiden William Ruto merupakan kali pertama beliau mengesahkan secara terbuka bahawa Presiden AS Donald Trump sendiri yang mengemukakan permintaan bagi penubuhan kemudahan berkenaan, sekali gus meletakkan pertikaian itu di tengah-tengah hubungan Kenya-AS serta kontroversi politik domestik yang kian meruncing.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement