WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan “melumpuhkan” sebuah kapal dagang berbendera Gambia dalam satu serangan peluru berpandu Hellfire di Teluk Oman selepas kapal berkenaan cuba belayar menuju ke sebuah pelabuhan Iran, menurut kenyataan Komando Pusat AS (CENTCOM).
Menurut CENTCOM, kapal yang dikenali sebagai M/V Lian Star itu dikesan berada di perairan antarabangsa ketika menuju ke Iran, sekali gus didakwa melanggar sekatan maritim yang sedang dikuatkuasakan oleh Washington.
Pihak tentera AS memaklumkan bahawa lebih daripada 20 amaran telah diberikan kepada kru kapal tersebut supaya menukar laluan, namun arahan itu tidak dipatuhi.
Sehubungan itu, sebuah pesawat tentera AS dilaporkan melepaskan peluru berpandu Hellfire yang menyasarkan ruang enjin kapal, menyebabkan kapal tersebut kehilangan keupayaan untuk bergerak dan tidak lagi meneruskan perjalanan ke Iran.
CENTCOM menjelaskan tindakan itu sebagai sebahagian daripada operasi berterusan bagi menguatkuasakan sekatan terhadap kapal yang cuba memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran, di tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak.
Setakat ini, kapal tersebut dilaporkan terapung di Teluk Oman dan tidak dinaiki oleh tentera AS, manakala status kecederaan dalam kalangan anak kapal masih belum disahkan.
Insiden ini berlaku dalam konteks konflik lebih luas antara AS dan Iran berkaitan kawalan di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dan gas dunia.
Sejak pelaksanaan sekatan oleh AS pada pertengahan April, beberapa kapal komersial telah dilumpuhkan atau diarahkan berpatah balik sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Tehran.
Langkah tersebut bagaimanapun mendapat kritikan daripada pihak Iran, yang menuduh AS menggagalkan usaha diplomasi dan meningkatkan risiko konflik di laluan maritim penting dunia itu.
Perkembangan terkini ini turut mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pelayaran antarabangsa serta kestabilan bekalan tenaga global, memandangkan Selat Hormuz merupakan antara nadi utama perdagangan dunia.