Skip to main content

Dunia

Letupan kedengaran di Kabul ketika konflik Pakistan-Afghanistan memasuki hari keempat

Taliban soldiers sit next to an anti-aircraft gun while on lookout for Pakistan's fighter jets, in Khost province, Afghanistan, February 27, 2026. REUTERS/Stringer
Askar Taliban duduk bersebelahan meriam antipesawat sambil memerhati ruang udara bagi mengesan jet pejuang Pakistan di wilayah Khost, Afghanistan. - Foto REUTERS

KABUL: Beberapa letupan kuat menggoncang ibu kota Afghanistan ketika pertempuran antara Pakistan dan kerajaan Taliban terus meningkat, memasuki hari keempat konflik yang semakin membimbangkan.

Menurut pihak berkuasa Taliban, pasukan mereka telah melepaskan tembakan ke arah pesawat tentera Pakistan yang didakwa menceroboh ruang udara Afghanistan pada awal pagi Ahad.

Jurucakap kerajaan Taliban berkata sistem pertahanan udara, termasuk peluru antipesawat dan peluru berpandu, dikerahkan untuk menyekat kemaraan jet Pakistan, termasuk percubaan serangan ke atas Pangkalan Udara Bagram, bekas pangkalan tentera AS utara Kabul.

Pakistan setakat ini belum mengulas dakwaan tersebut.

Ketegangan meruncing selepas Pakistan mengumumkan bahawa kedua-dua negara kini berada dalam keadaan “perang terbuka”, dengan tentera Islamabad dilaporkan masih menguasai kawasan seluas 32km persegi di sektor Zhob, selatan Afghanistan.

Laporan keselamatan Pakistan menyatakan kawalan itu diteruskan selepas siri serangan balas sejak Khamis.

Kerajaan Taliban pula menuduh Pakistan membunuh 55 orang awam dalam serangan berasingan merentasi beberapa wilayah, termasuk insiden dron yang mengorbankan seorang wanita dan seorang kanak-kanak di Nangarhar, serta tembakan mortar yang membunuh seorang penduduk di Paktia.

Di wilayah Kunar, seorang lelaki muda bernama Sajid kehilangan abangnya ketika melarikan diri semasa serangan berlaku.

“Dia kata dia mahu jaga rumah. Dia syahid berhampiran masjid,” katanya kepada AFP.

Al Jazeera melaporkan bahawa angka korban dari kedua-dua pihak tidak dapat disahkan secara bebas.

Walaupun Taliban menyatakan kesediaan untuk berbincang, Islamabad menolak sebarang bentuk diplomasi.

“Tiada rundingan. Tiada dialog. Tiada tawarmenawar,” kata jurucakap Perdana Menteri Pakistan, Mosharraf Zaidi, sambil menegaskan bahawa Pakistan hanya mahukan penghentian segera terhadap apa yang dianggap sebagai “keganasan berpangkalan di Afghanistan”.

Konflik ini berakar daripada pertikaian lama melibatkan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), kumpulan yang disalahkan Islamabad kerana melancarkan serangan maut dalam negara dan didakwa beroperasi dari Afghanistan, dakwaan yang ditolak oleh kerajaan Taliban.

Saksi di Kabul melaporkan dentuman bom disusuli tembakan berulang sebelum waktu subuh.

Wartawan Reuters mengesahkan bunyi letupan itu kedengaran di beberapa bahagian bandar.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, menegaskan bahawa ia adalah operasi menangkis pesawat Pakistan yang terbang rendah di ruang udara Kabul.

Beberapa negara serantau termasuk Qatar dan Arab Saudi telah menyeru kedua pihak menahan diri bagi mengelakkan konflik lebih meluas.

Namun, setakat ini usaha diplomatik belum menunjukkan tandatanda kejayaan.

Hubungan Pakistan–Afghanistan semakin merosot sejak hujung Februari, apabila Pakistan melancarkan siri serangan udara mendakwa menentang kumpulan militan di Afghanistan.

Taliban membalas dengan operasi rentas sempadan, yang kemudiannya memburukkan keadaan dan mencetuskan peningkatan ketegangan paling serius dalam beberapa tahun.

Penganalisis keselamatan memberi amaran bahawa konflik kali ini boleh menjadi berlarutan, memandangkan kedua-dua pihak berbalas dakwaan, serangan udara dan operasi darat.

 

 

Must Watch Video