Skip to main content

Dunia

Letupan gegar kedutaan AS di Oslo, tiada kecederaan dilaporkan

olice vehicles outside the U.S. embassy, after a loud bang was reported at the site, in Oslo, Norway, March 8, 2026. Javad Parsa/NTB/via REUTERS
Pihak berkuasa berkata mereka sedang memburu seorang atau lebih suspek. - Foto Reuters

ISTANBUL: Satu letupan menggegarkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Oslo pada awal pagi Ahad, menyebabkan kerosakan kecil namun tiada kecederaan dilaporkan, menurut polis Norway, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Perkhidmatan Polis Norway (Politiet) memaklumkan bahawa sejumlah besar anggota telah dikerahkan ke kawasan sekitar Kedutaan AS di daerah Huseby di barat Oslo selepas laporan mengenai satu letupan kuat kira-kira 1 pagi waktu tempatan (0000 GMT).

Polis berkata mereka sedang berhubung dengan pegawai di kedutaan itu dan mengesahkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan.

Pihak berkuasa kemudian mengesahkan bahawa satu letupan berlaku di kedutaan berkenaan, khususnya berhampiran pintu masuk konsular, namun menyatakan kerosakan yang berlaku adalah terhad.

“Beberapa laporan mengenai bunyi letupan diterima sekitar pukul 1 pagi. Kami tiba tidak lama kemudian dan mengesahkan bahawa satu letupan telah berlaku yang mengenai Kedutaan AS,” kata komander insiden polis Michael Dellemyr kepada penyiar Norway NRK.

Beliau berkata letupan itu menyebabkan kerosakan kecil dan pihak berkuasa belum dapat mengulas mengenai jenis kerosakan atau punca letupan kerana siasatan masih di peringkat awal.

Pihak berkuasa berkata mereka sedang memburu seorang atau lebih suspek, sementara penyiasat menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta menemu bual saksi.

Polis turut memaklumkan bahawa pemeriksaan di sekitar kawasan kedutaan tidak menemukan sebarang petunjuk mengenai ancaman bahan letupan tambahan di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video