Skip to main content

Dunia

Lelaki Jerman bawah 45 tahun perlu dapat kelulusan tentera untuk tinggal lama di luar negara

 Under the terms of compulsory military service, German men between the ages of 17 and 45 must report to a Bundeswehr Career Center or apply for permission before embarking on a long-term trip abroad.
Akta Pemodenan Perkhidmatan Tentera, yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu bertujuan memperkukuh pertahanan negara susulan ancaman daripada Rusia selepas pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine.

BERLIN: Lelaki warga Jerman berusia antara 17 hingga 45 tahun perlu mendapatkan kelulusan untuk tinggal lama di luar negara, di bawah perubahan yang diperkenalkan melalui undang-undang baharu yang memperkenalkan perkhidmatan ketenteraan secara sukarela.

Akta Pemodenan Perkhidmatan Tentera, yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu bertujuan memperkukuh pertahanan negara susulan ancaman daripada Rusia selepas pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine.

Dalam satu kenyataan kepada BBC, jurucakap Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa lelaki berusia 17 tahun ke atas dikehendaki mendapatkan kelulusan awal untuk tinggal di luar negara melebihi tempoh tiga bulan.

Di bawah undang-undang semasa, kelulusan perjalanan secara umumnya mesti diberikan.

Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana peraturan ini akan dikuatkuasakan sekiranya dilanggar.

Keperluan untuk mendapatkan kebenaran ini sebahagian besarnya tidak disedari sehingga ia dilaporkan oleh akhbar Frankfurter Rundschau pada Jumaat.

Jurucakap kementerian pertahanan berkata, peraturan tersebut bertujuan untuk “memastikan sistem pendaftaran ketenteraan yang boleh dipercayai dan bermakna”, sambil menambah: “Sekiranya berlaku kecemasan, kami mesti tahu siapa yang mungkin berada di luar negara untuk tempoh yang panjang.”

Kenyataan itu mengakui bahawa kesan terhadap golongan muda boleh menjadi “sangat meluas” dan memaklumkan bahawa peraturan berkaitan pengecualian sedang dibangunkan “sebahagiannya untuk mengelakkan birokrasi yang tidak perlu”.

Asas undang-undang bagi keperluan ini terletak pada Akta Kerahan Tenaga Jerman 1956, yang telah dipinda beberapa kali, yang terbaru pada Disember lalu. 

Sebelum pindaan terkini, kewajipan untuk melaporkan tempoh tinggal lama di luar negara hanya terpakai sekiranya Jerman berada dalam keadaan pertahanan negara atau mobilisasi.

Pegawai kementerian pertahanan berkata, peruntukan yang sama “benar-benar berkuat kuasa semasa Perang Dingin dan tidak mempunyai kepentingan praktikal”.

Akta Pemodenan Perkhidmatan Tentera menggariskan rancangan untuk meningkatkan jumlah anggota aktif daripada kira-kira 180,000 kepada 260,000 menjelang 2035.

Pada Disember, Parlimen Jerman mengundi untuk memperkenalkan perkhidmatan ketenteraan secara sukarela, bermakna mulai Januari semua individu berusia 18 tahun akan dihantar soal selidik yang bertanya sama ada mereka berminat untuk menyertai angkatan tentera.

Mulai Julai 2027, mereka juga diwajibkan menjalani penilaian kecergasan untuk menentukan sama ada mereka layak berkhidmat sekiranya perang tercetus.

Wanita boleh menjadi sukarelawan untuk perkhidmatan ketenteraan tetapi tidak boleh diwajibkan untuk berkhidmat di bawah Perlembagaan Jerman.

Walaupun rancangan ini berdasarkan perkhidmatan sukarela, sekiranya keadaan keselamatan menjadi lebih buruk atau jumlah sukarelawan terlalu sedikit, satu bentuk perkhidmatan ketenteraan wajib boleh dipertimbangkan.

Apabila undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen, ramai golongan muda menyertai tunjuk perasaan membantah perubahan tersebut.

“Kami tidak mahu menghabiskan setengah tahun kehidupan kami terkurung di berek, dilatih dengan kawad dan kepatuhan serta belajar untuk membunuh,” tulis seorang penganjur di media sosial.

Seperti negara Eropah lain, Jerman telah mengurangkan kekuatan tenteranya semasa tahun-tahun aman pada 1990-an. 

Ketika Perang Dingin, negara itu memiliki hampir setengah juta anggota tentera.
Perkhidmatan ketenteraan wajib di Jerman ditamatkan pada 2011 di bawah Canselor ketika itu, Angela Merkel.

Canselor Friedrich Merz telah berikrar untuk membina semula Bundeswehr menjadi tentera konvensional terkuat di Eropah sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan kerajaannya sebagai persekitaran keselamatan yang semakin berbahaya di Eropah. - Agensi
 

Must Watch Video