MOSCOW: Lebih 60 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) menentang serangan negara mereka ke atas Iran, menurut tinjauan oleh Pusat Penyelidikan Pew seperti dilaporkan Sputnik/RIA Novosti.
Menurut kajian itu, sebanyak 61 peratus rakyat AS dalam tinjauan berkenaan tidak menyokong tindakan itu dengan 44 peratus membantah keras manakala 17 peratus seakan membantah.
Sebanyak 37 peratus responden pula menyatakan sokongan terhadap operasi berkenaan.
Selain itu, tinjauan mendapati 59 peratus responden percaya AS membuat keputusan yang salah dengan menggunakan kekuatan ketenteraan terhadap Iran.
Malah, 45 peratus daripada mereka dalam tinjauan itu berkata operasi AS tidak berjalan dengan baik.
Majoriti kecil rakyat AS (54 peratus) berpendapat tindakan ketenteraan AS terhadap Iran akan berlanjutan sekurang-kurangnya enam bulan lagi, termasuk 29 peratus yang percaya ia akan berlanjutan selama setahun atau lebih.
Menurut tinjauan itu, 35 peratus menjangkakan konflik akan berlanjutan antara satu hingga enam bulan, manakala hanya lapan peratus berpendapat ia akan berakhir dalam tempoh kurang sebulan.
Tinjauan dijalankan ke atas 3,524 orang dewasa di AS dari 16 hingga 22 Mac, dengan margin ralat sebanyak empat mata peratusan.
Pada 28 Feb, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang mengakibatkan kerosakan serta kematian orang awam. Iran kemudian bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan ketenteraan AS di Asia Barat.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI