MOSCOW: Lebih separuh daripada rakyat Britain percaya Parti Buruh, yang diterajui Perdana Menteri United Kingdom (UK) Keir Starmer, tidak akan mampu memenangi Pilihan Raya Parlimen akan datang, menurut tinjauan pendapat oleh Public First untuk Politico pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Hanya 33 peratus responden memandang positif peluang pemilihan semula Parti Buruh, manakala 53 peratus lagi percaya kemenangan pada Pilihan Raya Umum akan datang adalah mustahil.
Selain itu, 56 peratus daripada mereka yang dalam tinjauan berkata Parti Buruh sama ada gagal memperbaiki keadaan di negara itu atau menjadikannya lebih buruk. Sebanyak 31 peratus lagi mengakui terdapat beberapa perubahan positif namun menyifatkannya sebagai tidak mencukupi, manakala hanya enam peratus berkata kerajaan pimpinan Parti Buruh telah menunaikan janji-janji mereka sepenuhnya.
Pada masa yang sama, 65 peratus responden berpendapat Parti Reform UK pimpinan Nigel Farage mempunyai peluang nyata untuk memenangi Pilihan Raya Parlimen akan datang.
Tinjauan itu dijalankan terhadap 2,031 orang dewasa di UK antara 8 hingga 11 Mei, dengan margin ralat sebanyak dua mata peratusan.
Terdahulu pada Mei, Daily Mail melaporkan bahawa Parti Buruh mungkin berhadapan dengan perebutan kuasa dalaman tiga hala susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Wilayah yang diadakan pada 7 Mei.
Pencabar berpotensi kepada Starmer dilaporkan termasuk Setiausaha Kesihatan Wes Streeting dan wakil sayap kiri parti, kemungkinan Datuk Bandar Manchester Andy Burnham atau bekas pemimpin Parti Buruh, Ed Miliband.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI