TEHRAN: Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Iran menyambung semula penerbangan ke 15 destinasi luar negara selepas gangguan selama beberapa minggu susulan serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, lapor Xinhua yang memetik agensi separa rasmi Tasnim pada Rabu.
Lesen yang diperlukan diperoleh bagi penyambungan semula penerbangan ke Istanbul (Turkiye), Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen (China), Bangkok (Thailand), Muscat (Oman), Erbil (Wilayah Kurdistan Iraq), Kabul (Afghanistan), Moscow (Rusia), Doha (Qatar), Baghdad dan Najaf (Iraq), Madinah (Arab Saudi) serta Yerevan (Armenia), menurut Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Lapangan Terbang Bandar Imam Khomeini, Ramin Kashef-Azar.
Beliau berkata, semua proses berkaitan penerimaan dan pengangkutan penumpang keluar masuk di dua terminal lapangan terbang itu kini berjalan dengan selamat.
Iran menutup ruang udaranya susulan serangan bersama AS dan Israel pada 28 Feb, sekali gus menghentikan operasi penerbangan awam di seluruh negara.
Negara itu membuka semula ruang udara bahagian timur kepada penerbangan antarabangsa pada 18 April, dengan penyambungan semula penerbangan penumpang secara berperingkat di lapangan terbang lain.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Iran memaklumkan yang perkhidmatan penerbangan akan kembali normal sebaik sahaja persediaan teknikal dan operasi oleh pihak tentera serta awam selesai.
-- BERNAMA-XINHUA