Skip to main content

Dunia

Lapan negara Islam kecam aktiviti penempatan haram Israel, keganasan terhadap rakyat Palestin

81709801895_TBAlAqsaMosque.jpg
Lapan negara majoriti Islam turut mengecam pencerobohan berulang kali oleh pendatang haram Zionis dan menteri pelampau ke kawasan Masjid Al-Aqsa dengan mendapat perlindungan polis Israel. - Gambar fail

ISLAMABAD: Lapan negara majoriti Islam pada Khamis mengecam kelulusan Israel terhadap lebih 30 penempatan haram baharu serta peningkatan keganasan pendatang terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, lapor Xinhua.

Menteri-Menteri Luar Pakistan, Mesir, Turkiye, Indonesia, Jordan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu menyifatkan kelulusan penempatan baharu itu sebagai “pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa”, selain mengecam serangan terbaharu terhadap sekolah dan kanak-kanak Palestin.

Menurut menteri-menteri itu dalam kenyataan bersama, tindakan sedemikian menjejaskan penyelesaian dua negara serta usaha damai.

Mereka turut mengecam pencerobohan berulang kali oleh pendatang haram Zionis dan menteri pelampau ke kawasan Masjid Al-Aqsa dengan mendapat perlindungan polis Israel.

Menteri-menteri itu juga menegaskan semula sokongan terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video