Skip to main content

Dunia

Laluan darat, subsidi bahan api sebagai perisai ekonomi Iran hadapi tekanan AS-Israel

A man holds an Iranian flag near an anti-U.S. billboard depicting U.S. President Donald Trump and the Strait of Hormuz, in Tehran, Iran, May 30, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS
Aspek solidariti sosial yang kuat dalam kalangan rakyat juga tidak boleh diketepikan kerana faktor itu banyak membantu mereka menghadapi tekanan dan cabaran semasa. -Gambar fail/Reuters

KUALA LUMPUR: Rakyat Iran dilaporkan terus bertahan dengan memanfaatkan laluan perdagangan alternatif walaupun berdepan tekanan sekatan ekonomi serta perkembangan konflik di rantau Asia Barat.

Pensyarah Institut Pengajian Islam Antarabangsa (IISS) di Qom, Profesor Qasem Muhammadi berkata kedudukan geografi Iran yang bersempadan dengan lebih 10 negara memberi kelebihan dari segi jaringan perdagangan.

Menurut beliau, kelebihan itu membolehkan Iran mengurangkan kesan tekanan ekonomi serta meneruskan aktiviti import dan eksport.

“Iran mempunyai laluan kereta api yang menghubungkannya dengan China melalui wilayah timur negara itu.

“Dalam tempoh sebulan lalu, penggunaan laluan tersebut bagi tujuan perdagangan meningkat dengan ketara,” katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI.

Dalam masa sama, beliau mengakui perkembangan keselamatan di Selat Hormuz memberi kesan kepada perdagangan Iran serta rantaian bekalan global.

Image
 IRAN, QASEM MUHAMMADI
Harga petrol di Iran sangat murah dan boleh dikatakan hampir percuma berbanding harga antarabangsa, ujar Qasem.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Iran masih mampu mengekalkan aktiviti ekonominya melalui laluan darat dan rangkaian logistik serantau, biarpun belum pulih sepenuhnya.

Menyentuh bekalan tenaga, Qasem berkata kerajaan Iran terus menyalurkan subsidi kepada rakyat, termasuk harga bahan api yang jauh lebih rendah berbanding pasaran antarabangsa.

"Sebagai contoh, harga petrol di Iran sangat murah dan boleh dikatakan hampir percuma berbanding harga antarabangsa.

“Dalam nilai dolar Amerika, harganya sekitar 10 hingga 15 sen seliter, bersamaan kira-kira RM0.40 hingga RM0.65 seliter,” katanya.

Menurut Worldometer, Iran memiliki kira-kira 208.6 bilion tong rizab minyak mentah, menjadikannya negara ketiga terbesar di dunia dari segi simpanan petroleum.

Qasem, dalam pada itu, mengesahkan bahawa pihak pemerintah juga menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas akibat konflik, termasuk penduduk berpendapatan rendah.

Beliau berkata rakyat Iran telah lama membuat persediaan berdepan tekanan luar dengan memperkukuh kerjasama komuniti. Jelasnya, ketika membincangkan keadaan ekonomi Iran, aspek solidariti sosial yang kuat dalam kalangan rakyat juga tidak boleh diketepikan kerana faktor itu banyak membantu mereka menghadapi tekanan dan cabaran semasa.

“Rakyat sendiri membantu jiran dan saudara-mara yang terkesan akibat konflik. Ada yang kehilangan rumah, premis perniagaan atau sumber pendapatan, dan mereka dibantu oleh masyarakat setempat,” katanya lagi.

Beliau turut mengakui ketegangan di Selat Hormuz memberi kesan kepada negara lain, termasuk rakan dagang dan negara berkecuali.

Namun, beliau berkata keadaan itu bukan pilihan rakyat Iran, sebaliknya terpaksa ditempuh berikutan sokongan negara itu terhadap Palestin serta perbezaan pendirian dengan dasar Amerika Syarikat.

“Selama lima dekad tiada masalah berlaku di Selat Hormuz ketika di bawah pengawasan Iran. Kini kami bertekad untuk menjaganya dari sebarang ancaman AS,” katanya lagi.

 

Must Watch Video

Advertisement