Skip to main content

Dunia

Krisis tenaga global: Negara Asia mula catu bahan api

Riders with vehicles queue to fill up fuel at a gas station amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Bangkok, Thailand, March 26, 2026. REUTERS/Athit Perawongmetha
Penunggang motosikal beratur untuk mengisi minyak di sebuah stesen petrol di tengah konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, di Bangkok, Thailand, pada Khamis. - Gambar Reuters

KRISIS tenaga global susulan konflik di Asia Barat kini memberi kesan meluas di rantau Asia apabila beberapa negara mula melaksanakan langkah drastik termasuk catuan bahan api, penjimatan tenaga dan sekatan aktiviti harian.

Di Myanmar, kerajaan memperkenalkan sistem catuan bahan api melibatkan kenderaan persendirian melalui kaedah nombor plat ganjil-genap bermula awal Mac.

Kenderaan hanya dibenarkan berada di jalan raya mengikut tarikh tertentu, manakala kenderaan elektrik dikecualikan daripada sekatan itu.

Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) turut memberi amaran keras terhadap aktiviti penyorokan bahan api untuk dijual semula pada harga tinggi, dengan tindakan undang-undang bakal dikenakan kepada pelanggar.

Di Filipina pula, pengguna mula beratur panjang di stesen minyak menjelang kenaikan harga bahan api antara 17 hingga 24 peso bermula 10 Mac. 

Kenaikan itu mencetuskan bantahan kecil apabila aktivis menggesa kerajaan mengawal harga.

Situasi sama turut dirasai di Bangladesh apabila universiti termasuk Universiti Dhaka ditutup sementara bagi menjimatkan penggunaan tenaga, selain perkhidmatan bas sekolah dihentikan.

Di Korea Selatan , orang ramai dilihat memenuhi stesen minyak di Seoul bagi mengisi petrol lebih awal sebelum harga meningkat, mencerminkan kebimbangan pengguna terhadap ketidaktentuan pasaran tenaga.

Sementara itu di India , kekurangan gas petroleum cecair (LPG) memaksa restoran beralih kepada penggunaan kayu api, sekali gus menjejaskan operasi dan mengurangkan menu, selain menyaksikan penurunan perniagaan sehingga 70 peratus.

Di Nepal pula, pengguna terpaksa beratur panjang membawa silinder gas kosong selepas syarikat minyak milik negara mengarahkan penjualan silinder separuh penuh bagi menjimatkan bekalan.

Thailand tidak ketinggalan melaksanakan langkah penjimatan tenaga dengan menggalakkan penjawat awam bekerja dari rumah, mengurangkan penggunaan penghawa dingin serta melonggarkan kod pakaian rasmi bagi menghadapi suhu tinggi.

Sri Lanka turut mengumumkan catuan bahan api berkuat kuasa serta-merta, manakala di Pakistan, krisis tenaga memaksa liga kriket domestik dianjurkan tanpa penonton bagi mengurangkan penggunaan bahan api.

Dalam masa sama, Pakistan meningkatkan pergantungan kepada sumber tenaga domestik seperti hidro, arang batu dan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan kepada import gas asli cecair (LNG).

Krisis ini berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, yang turut menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz, antara laluan utama penghantaran minyak dunia.

Harga minyak global dilaporkan melonjak sehingga 25 peratus, dengan minyak mentah Brent mencatat kenaikan harian terbesar, sekali gus meningkatkan kos penghantaran dan tekanan ekonomi di peringkat global.

Perkembangan ini menunjukkan krisis tenaga bukan lagi isu setempat, sebaliknya telah menjadi cabaran global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat di pelbagai negara.

Must Watch Video