Skip to main content

Dunia

Krisis perlindungan kanak-kanak semakin parah di Congo - UNICEF

41694735263_UNICEFlogo.jpg
Data terkini PBB menunjukkan lebih tujuh juta orang kehilangan tempat tinggal di timur Congo termasuk 2.5 juta kanak-kanak. - Gambar fail

KIGALI (RWANDA): UNICEF pada Rabu memberi amaran mengenai krisis perlindungan kanak-kanak yang semakin teruk dan peningkatan ancaman terhadap pekerja kemanusiaan di Republik Demokratik Congo ketika keganasan semakin meningkat di timur negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

Gilles Fagninou, pengarah wilayah Afrika Barat dan Tengah UNICEF, berkata demikian selepas tamat lawatan lima hari ke negara tersebut dan beliau telah bertemu pihak berkuasa kerajaan serta wakil pemberontak AFC/M23.

Perbincangan mereka menumpukan pada kemajuan ketara yang dicapai dan cabaran yang masih ada dari segi hak kanak-kanak di Congo, menurut satu kenyataan.

Data terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan lebih tujuh juta orang kehilangan tempat tinggal di timur Congo termasuk 2.5 juta kanak-kanak.

Pada 2024, hampir 4,000 pencabulan hak kanak-kanak yang serius telah direkodkan, dengan kanak-kanak mewakili lebih 40 peratus mangsa keganasan seksual, menurut data. 

"Serangan ke atas sekolah, kemudahan kesihatan dan infrastruktur awam terus meningkat, menyebabkan kanak-kanak kehilangan keselamatan dan perkhidmatan penting," menurut kenyataan itu.

Agensi kanak-kanak itu juga memberi amaran tentang peningkatan keganasan yang menjejaskan operasi kemanusiaan.

Pada 2025, lebih 626 insiden yang menjejaskan penggiat kemanusiaan direkodkan di seluruh negara, menurut Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

“Serangan ke atas pekerja bantuan bukan hanya menyasarkan pekerja bantuan; mereka menyasarkan kanak-kanak dan keluarga yang bergantung pada bantuan menyelamatkan nyawa," kata Fagninou.

"Setiap kali akses disekat, makanan, air dan ubat-ubatan tidak sampai kepada mereka yang paling memerlukannya."

Menurut PBB, orang awam di Congo diserang oleh banyak kumpulan bersenjata, terutamanya pemberontak M23, Allied Democratic Forces (ADF) dan kumpulan militia CODECO.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video