Skip to main content

Dunia

Korea Selatan teliti cadangan AS sertai misi Hormuz selepas kebakaran kapal

Oil tankers and cargo ships line up in the Strait of Hormuz as seen from Khor Fakkan, United Arab Emirates, Wednesday, March 11, 2026. (AP Photo/Altaf Qadri)
Insiden melibatkan kapal bernama HMM Namu itu berlaku sekitar jam 8.40 malam, ketika ketegangan di Selat Hormuz kembali memuncak. -Gambar fail/ AP

ISTANBUL: Seoul sedang meneliti cadangan Amerika Syarikat (AS) mengenai “Project Freedom” di Selat Hormuz, menurut pejabat presiden pada Selasa, sehari selepas sebuah kapal Korea Selatan terbakar di laluan air penting itu, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

“Kerajaan berpegang pada prinsip bahawa keselamatan di laluan maritim antarabangsa dan kebebasan pelayaran adalah kepentingan bersama semua negara dan perlu dilindungi mengikut undang-undang antarabangsa,” menurut Cheong Wa Dae atau Rumah Biru dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Korea Times.

“Kami sedang meneliti cadangan AS mengenai Selat Hormuz berdasarkan prinsip itu, kesiapsiagaan ketenteraan di Semenanjung Korea serta undang-undang domestik. Mengenai Project Freedom, Korea (Selatan) dan AS telah berkomunikasi rapat bagi memastikan penggunaan selamat laluan air utama, termasuk Selat Hormuz,” tambah Rumah Biru.

Pejabat presiden pada Selasa turut mengadakan perbincangan mengenai “tindak balas” Seoul terhadap kebakaran yang berlaku susulan letupan di atas sebuah kapal pengangkut pukal yang dikendalikan syarikat perkapalan utama Korea Selatan di Selat Hormuz.

Sejurus selepas insiden itu, Presiden AS Donald Trump menggesa Seoul menyertai misi yang diterajui AS di laluan perairan berkenaan. Misi itu, menurut AS, bertujuan memandu kapal-kapal yang terkandas keluar dengan selamat dari laluan strategik itu -- yang masih disekat oleh Iran serta tentera AS.

Seoul berkata ia sedang mengambil semua langkah perlu untuk menentukan punca sebenar dan keadaan letupan di atas kapal yang dikendalikan Korea Selatan di selat berkenaan.

“Kami akan dapat menentukan punca sebenar insiden selepas pemeriksaan kerosakan dijalankan sebaik sahaja kapal ditunda,” menurut Kementerian Luar.

Selepas perbincangan itu, pejabat presiden berkata: “Ia dijangka mengambil masa beberapa hari untuk menganalisis punca,” menurut laporan Yonhap.

Kapal itu “akan ditunda ke pelabuhan berhampiran menggunakan kapal tunda untuk siasatan, dengan penyiasat dari Tribunal Keselamatan Maritim Korea dan Agensi Bomba Kebangsaan akan dihantar,” menurut pejabat itu.

Insiden itu berlaku lewat Isnin ketika HMM Namu berlabuh di luar pantai Emiriah Arab Bersatu dan kini tidak dapat beroperasi.

Kesemua 24 anak kapal, terdiri daripada enam warga Korea Selatan dan 18 warga asing, disahkan selamat.

Punca letupan masih dalam siasatan.

Sebanyak 26 kapal berdaftar Korea Selatan masih terkandas di selat itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video