KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberikan diskaun sewaan sehingga 20 peratus kepada lebih 7,135 lot perniagaan di bawah seliaannya di seluruh negara, sebagai usaha membantu peniaga kecil berdepan tekanan ekonomi semasa.
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu dilaksanakan susulan arahan Perdana Menteri agar agensi kerajaan yang menguruskan premis perniagaan mengambil pendekatan lebih proaktif dalam meringankan kos operasi penyewa.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja melibatkan pengurangan sewaan, malah turut merangkumi bantuan penjadualan semula bayaran pinjaman dan sewaan bagi penyewa serta peminjam yang terjejas aliran tunai.
“Di pihak MARA, kita telah menerima arahan daripada Perdana Menteri untuk membantu penyewa-penyewa premis perniagaan MARA di seluruh negara. Kita akan memberikan diskaun sehingga 20 peratus kepada penyewa dalam tempoh krisis ekonomi yang sedang melanda,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi video yang dikongsikan kepada Astro AWANI pada Selasa ketika memberi reaksi berhubung pengumuman kerajaan dalam Sidang Media Krisis Bekalan Global, yang turut mengarahkan agensi Persekutuan seperti MARA dan UDA Holdings menurunkan kadar sewaan premis perniagaan.
Dalam pada itu jelasnya, Timbalan Perdana Menteri turut mengarahkan agar MARA membuka ruang kepada semua penyewa dan peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan untuk mendapatkan bantuan penstrukturan semula bayaran.
“Bukan itu sahaja, semua peminjam dan penyewa yang menghadapi masalah kewangan dalam tempoh krisis ini digalakkan datang ke pejabat MARA di daerah, negeri atau ibu pejabat untuk kita bantu menstrukturkan semula kewangan mereka.
“Ia bagi membantu mereka mengurus aliran tunai dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.
Menurut beliau, langkah tersebut diharap dapat memberi kelegaan segera kepada peniaga kecil dan usahawan MARA yang terkesan, selain memastikan kelangsungan perniagaan mereka dalam tempoh mencabar ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua agensi Kerajaan Persekutuan termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang mengelola premis perniagaan telah diarahkan untuk menurunkan kadar sewaan berkuat kuasa bulan ini sebagai langkah meringankan beban peniaga kecil di seluruh negara.