PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas lebih sembilan jam sesi rakaman percakapan di ibu pejabat suruhanjaya itu pada Selasa.
Beliau yang beredar dari pekarangan ibu pejabat pada jam 7.20 malam sebelum itu memaklumkan kepada pemberita bahawa proses yang dilaluinya sepanjang dua hari ini adalah prosedur biasa di mana beliau dipanggil untuk memberikan penjelasan serta dirujuk kepada dokumen-dokumen tertentu oleh pihak berkuasa.
"Alhamdulillah, maksudnya proses ini sama macam semalam jugalah. Proses bagi mereka yang belum pernah dirakam keterangan, proses dia biasalah, sama ada pihak berkuasa tanya sesuatu kita bagi jawapan kita, ataupun kita dirujuk kepada sesuatu perkara, kita bagi jawapan kita," katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan, kerjasama diberikan beliau adalah berasaskan kepada rekod-rekod rasmi kerajaan yang sedia ada, sekali gus memudahkan urusan soal siasat memandangkan segala maklumat tersebut berada dalam simpanan pihak berkuasa.
"Setakat ini sebenarnya semua soal siasat itu dan rakaman itu ialah bersabit dengan fungsi saya dahulu dan itu mudahlah untuk saya lalui kerana memang rekod-rekod kerajaan itu ada," katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa proses tersebut mengambil masa agak lama memandangkan terdapat jumlah dokumen yang besar dan perlu diperincikan satu persatu bersama pasukan penyiasat.
Menurut beliau, kesemua dokumen yang dirujuk dalam siasatan tersebut adalah dokumen rahsia kerajaan yang dikumpulkan sendiri oleh pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan, dan beliau sendiri tidak memiliki simpanan peribadi bagi dokumen-dokumen berkenaan.
"Dokumen ini semua penyiasat SPRM yang ambil, bukan saya. Segala yang SPRM dah kumpul dalam siasatan mereka, yang itu terpulang kepada mereka kalau dia nak rujuk kepada saya dalam merakam percakapan atau nak dapat pandangan.
"Saya memang tiada dokumen apa-apa kerana semua yang bersabit dengan urusan menteri, dokumen itu semua rahsia. Jadi, kalau saya ada dokumen, memang saya masuk ke dalam (penjara)," tambahnya secara berseloroh.
Mengulas mengenai perkembangan lanjut, Rafizi mengesahkan bahawa rakaman percakapan tersebut akan disambung semula pada jam 2 petang esok bagi melengkapkan baki siasatan yang masih diperlukan.
"Cuma panjang kerana dia banyak dokumen yang perlu kita semak satu-satu. Esok akan bersambung, cuma esok mula pukul 2 petang.
Rafizi hadir ke bangunan SPRM pada jam 9.30 pagi ini menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo XC60 berwarna gelap dan memakai kemeja putih dan sut hitam bagi menyambung rakaman percakapan untuk hari kedua bagi membantu siasatan berkait kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion.