ASHDOD: Menteri Keselamatan Israel berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir mencetuskan kecaman antarabangsa selepas memuat naik video memaparkan aktivis flotila pro-Palestin dalam keadaan ditahan, berlutut dengan tangan diikat dan dahi menyentuh tanah.
Video yang dikongsi di platform X itu dimuat naik selepas pasukan Israel memintas kapal flotila menuju Gaza di laut, sebelum menahan ratusan aktivis asing di pelabuhan selatan Ashdod.
Rakaman tersebut mencetuskan reaksi pantas masyarakat antarabangsa, malah Ben Gvir turut menerima kritikan daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta Menteri Luar, Gideon Saar.
Dengan kapsyen “Selamat datang ke Israel”, video itu menunjukkan puluhan aktivis dipaksa berlutut dengan tangan terikat, sementara lagu kebangsaan Israel kedengaran di latar belakang.
Rakaman itu turut memaparkan Ben Gvir mengejek aktivis berkenaan sambil mengibarkan bendera Israel di hadapan mereka.
Perancis menyifatkan tindakan tersebut sebagai “tidak boleh diterima” dan memanggil duta Israel, manakala Sepanyol mengecam layanan “kejam” terhadap aktivis serta turut memanggil wakil diplomatik Israel bagi menyatakan bantahan.
Menteri Luar Ireland, Helen McEntee pula meluahkan rasa terkejut dan marah terhadap rakaman itu serta menuntut pembebasan segera aktivis terbabit, termasuk individu yang merupakan adik kepada Presiden Parlimen negara itu.
Itali dan Greece turut mengutuk tindakan tersebut dan menggesa pembebasan segera rakyat mereka, dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menuntut permohonan maaf daripada Israel.
Kementerian Luar Turkiye pula menyatakan bahawa tindakan Ben Gvir sekali lagi membuktikan “mentaliti ganas dan tidak berperikemanusiaan” kerajaan Netanyahu.
Netanyahu tegur tindakan menteri sendiri
Ben Gvir turut dikritik Netanyahu yang menegaskan tindakan menteri itu tidak selari dengan nilai dan norma Israel.
“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk mengusir individu yang mencetuskan provokasi ini secepat mungkin,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.
Menteri Luar, Gideon Saar turut mengecam tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai satu perbuatan memalukan yang merosakkan imej Israel.
Namun Ben Gvir mempertahankan tindakannya dengan menyatakan beliau berbangga mengetuai operasi terhadap pihak yang disifatkannya sebagai penyokong keganasan.
“Ya, mungkin ada gambar yang tidak disukai Gideon Saar, tetapi bagi saya ia satu kebanggaan,” katanya di Parlimen.
Flotila cuba tembusi sekatan Gaza
Kira-kira 50 kapal di bawah Global Sumud Flotilla belayar dari Turkiye minggu lalu dalam usaha terbaharu aktivis untuk menembusi sekatan Israel ke atas Gaza, selepas percubaan terdahulu dipintas bulan lalu.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan, seramai 430 aktivis berada dalam flotila tersebut, dengan sebahagian telah dibawa ke pelabuhan Ashdod dan ditahan.
Hamas menyifatkan rakaman tersebut sebagai bukti “kemerosotan moral dan sadisme” pemimpin Israel.
Kumpulan hak asasi Adalah turut mengkritik tindakan pihak berkuasa Israel, menyatakan negara itu mengamalkan dasar “menyiksa dan memalukan” aktivis yang cuba mencabar tindakan terhadap rakyat Palestin.
Israel anggap flotila sebagai propaganda
Kementerian Luar Israel pula menolak flotila tersebut sebagai aksi publisiti yang memihak kepada Hamas.
Netanyahu sebelum ini menyifatkan usaha tersebut sebagai “rancangan berniat jahat” untuk memecahkan sekatan yang dikenakan ke atas Hamas di Gaza.
Israel mengawal semua pintu masuk ke Gaza yang telah dikenakan sekatan sejak 2007.
Sepanjang konflik di Gaza, wilayah itu berdepan kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas, malah bantuan kemanusiaan turut dihentikan sepenuhnya pada beberapa ketika.
Percubaan flotila sebelum ini telah dipintas di perairan antarabangsa berhampiran Greece bulan lalu, dengan kebanyakan aktivis dihantar pulang ke Eropah manakala beberapa individu ditahan dan kemudian diusir. - Agensi