Skip to main content

Dunia

Disney disaman AS$5 juta, didakwa kumpul data biometrik pengunjung Disneyland tanpa kebenaran

61592659249_disneylandUSA.jpg
Saman yang difailkan oleh Summer Christine Duffield di mahkamah persekutuan California itu mendakwa Disneyland dan Disney California Adventure melanggar undang-undang privasi pengguna serta peraturan perlindungan persaingan negeri. -Gambar fail

LOS ANGELES: Gergasi hiburan The Walt Disney Company berdepan saman tindakan perwakilan berjumlah AS$5 juta (kira-kira RM19.80 juta) atas dakwaan mengumpul data pengecaman wajah pengunjung tanpa kebenaran di taman temanya.

Saman yang difailkan oleh Summer Christine Duffield di mahkamah persekutuan California itu mendakwa Disneyland dan Disney California Adventure melanggar undang-undang privasi pengguna serta peraturan perlindungan persaingan negeri.

Plaintif berhujah bahawa teknologi imbasan biometrik yang diperkenalkan pada April lalu bagi tujuan pengesahan tiket dan pencegahan penipuan dilaksanakan tanpa pendedahan yang jelas kepada orang awam.

Menurut tuntutan itu, papan tanda pemberitahuan di lokasi disifatkan mengelirukan kerana hanya sebahagian kecil laluan masuk yang tidak menggunakan teknologi biometrik.

Keadaan tersebut didakwa menyebabkan majoriti pengunjung, termasuk kanak-kanak, terdedah kepada sistem pengecaman wajah tanpa persetujuan bertulis daripada ibu bapa.

Peguam plaintif turut mempertikaikan dakwaan Disney bahawa data biometrik dipadam dalam tempoh 30 hari, memandangkan sistem pintu masuk dikatakan perlu menyemak maklumat tersebut sepanjang tempoh sah pas tahunan pengunjung.

Sementara itu, jurucakap Disneyland Resort, Jessica Jakary, berkata syarikatnya komited melindungi maklumat peribadi pengunjung dan menyifatkan tuntutan saman itu sebagai tidak berasas.

 

Must Watch Video

Advertisement