Skip to main content

Dunia

Kongres perlu lulus sebarang penempatan tentera AS ke Iran - Nancy Mace

A member of a police force stands guard on a street, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 23, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Seorang anggota pasukan polis berkawal di sebuah jalan, ketika konflik AS–Israel dengan Iran, di Tehran, Iran. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Wakil Rakyat Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Nancy Mace, berkata Kongres mesti diberi peranan dalam sebarang keputusan untuk menghantar tentera AS ke Iran, sekali gus menyerlahkan perpecahan yang semakin ketara dalam parti Presiden Donald Trump berhubung perang yang sedang berlangsung.

Kenyataan Mace dibuat beberapa hari selepas beliau menghadiri taklimat tertutup Dewan Perwakilan mengenai konflik tersebut, yang menurutnya menimbulkan kebimbangan terhadap rancangan kerajaan.

Ulasan itu juga muncul pada hari sama akhbar Washington Post melaporkan bahawa Pentagon sedang membuat persiapan untuk operasi darat berskala terhad di Iran, termasuk serbuan ke Pulau Kharg dan kawasan berhampiran Selat Hormuz.

“Jika kita bercakap tentang operasi darat konvensional melibatkan Marin dan Divisyen Udara Ke‑82, itu adalah perang darat dan saya percaya Kongres perlu terlibat serta dimaklumkan,” kata Mace dalam temu bual bersama CNN.

“Kami tidak mahu tentera dikerahkan di lapangan,” tambahnya.

“Itu merupakan garis merah bagi ramai pihak. Jika kerajaan mahu berbuat demikian, mereka mesti datang ke Kongres dan mendapatkan kelulusan yang sewajarnya.”

Setakat ini, Trump tidak secara terbuka menyokong penempatan tentera darat AS ke Iran, namun menegaskan bahawa semua pilihan masih terbuka.

Beliau turut mendakwa perang yang dilancarkan AS dan Israel pada 28 Februari lalu telah menunjukkan kejayaan, walaupun matlamat akhir dan tempoh konflik tersebut masih tidak jelas.

Penganalisis ketenteraan serta Pengarah Perisikan Nasional AS menyatakan bahawa meskipun keupayaan ketenteraan Iran telah terjejas, negara itu masih mempunyai keupayaan untuk membalas serangan, memberi kesan kepada kestabilan serantau dan membina semula kekuatan tenteranya.

Ramai pakar juga menegaskan had kuasa udara semata-mata dalam melumpuhkan sepenuhnya keupayaan ketenteraan Iran, memusnahkan program nuklearnya atau mencapai perubahan rejim secara menyeluruh.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, dalam kenyataan pada Ahad tidak menafikan laporan Washington Post, tetapi menegaskan penyediaan pelbagai pilihan adalah sebahagian daripada tugas rutin Pentagon.

“Adalah tugas Pentagon untuk menyediakan pilihan bagi memastikan presiden mempunyai fleksibiliti maksimum. Itu tidak bermaksud presiden telah membuat keputusan,” katanya.

Penempatan tentera darat menjadi ujian politik utama buat Trump, yang selama ini menekankan tindakan ketenteraan yang pantas dan terhad selaras dengan pendekatan “America First”.

Keputusan sedemikian turut meletakkan ahli-ahli Republikan dalam dilema, meskipun kebanyakan mereka menyokong Trump.

Beberapa tokoh berpengaruh dalam gerakan “Make America Great Again” (MAGA) secara terbuka menentang perang tersebut.

Pada persidangan Conservative Political Action Conference (CPAC) di Dallas hujung minggu lalu, sebahagian penceramah menyokong perang atau memilih untuk tidak mengulas isu tersebut.

Namun, bekas ahli Kongres dan sekutu Trump, Matt Gaetz, secara terbuka membantah sebarang pencerobohan darat.

“Pencerobohan darat ke Iran akan menjadikan negara kita lebih miskin dan tidak lebih selamat,” katanya.

“Ia akan membawa kepada kenaikan harga minyak, harga makanan.”

Dalam perkembangan berkaitan, AS meningkatkan kehadiran tenteranya di Asia Barat.

Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan kira-kira 3,500 anggota tentera tambahan tiba di rantau itu menaiki USS Tripoli pada Sabtu, sementara sekitar 2,000 anggota Divisyen Udara Ke‑82 dialihkan dari rantau Asia Pasifik sebelum itu.

Akhbar Wall Street Journal minggu lalu melaporkan Trump sedang mempertimbangkan untuk menghantar tambahan 10,000 tentera ke rantau berkenaan, di mana sekitar 40,000 tentera AS lazimnya ditempatkan.

Ahli Republikan lain, Eli Crane dan Derrick Van Orden, turut memberi amaran bahawa sokongan mereka terhadap perang akan berubah sekiranya Trump mengarahkan penempatan tentera darat.

“Kebimbangan terbesar saya sejak awal ialah konflik ini akan bertukar menjadi satu lagi perang berpanjangan di Asia Barat,” kata Crane.

“Walaupun saya tidak mahu mengehadkan kuasa presiden, ramai penyokong kami dan ahli Kongres amat bimbang mengenai kemungkinan itu,” tambahnya.
 

Must Watch Video