KUALA LUMPUR: Israel menggunakan ketegangan yang dicetuskannya di Iran dengan bantuan Amerika Syarikat (AS), sebagai ruang untuk mengalih perhatian dunia, sementara rejim itu meningkatkan tekanan ketenteraan dan kemanusiaan ke atas Palestin terutama Gaza.
Ahli Biro Politik Hamas, Basem Naim berkata, ketika tumpuan antarabangsa terarah kepada serangan ke atas Iran dan perkembangan di Selat Hormuz, Israel meneruskan apa yang disifatkannya sebagai rancangan memperhebat tekanan terhadap rakyat Palestin.
"Situasi di Gaza kini semakin kritikal dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan serta sekatan pergerakan yang berterusan, selain kemusnahan infrastruktur dan penutupan Rafah yang memburukkan lagi keadaan kemanusiaan.
“Malangnya, Israel dengan sokongan Amerika Syarikat menggunakan waktu ketika dunia sibuk memberi tumpuan kepada perang terhadap Iran untuk meneruskan rancangan mereka di Palestin, khususnya di Gaza yang kini berdepan bencana kemanusiaan yang amat kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Taklimat Khas mengenai Perkembangan Terkini di Gaza, Perang Iran-AS-Israel dan Krisis Kemanusiaan di Palestin di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di sini, pada Selasa.
Beliau turut berkata, tekanan sama turut diperluas ke Tebing Barat melalui peluasan kawalan wilayah, selain tindakan menyasarkan simbol dan institusi berkaitan identiti Palestin.
Dalam pada itu, Basem berkata penutupan Masjid Al-Aqsa selama 40 hari merupakan perkembangan yang membimbangkan dan disifatkannya sebagai sebahagian daripada agenda lebih besar, memanfaatkan keadaan geopolitik semasa.
Menurut beliau, ketiadaan reaksi tegas masyarakat antarabangsa terhadap tindakan tersebut berisiko membuka ruang kepada tindakan susulan yang lebih agresif.
Beliau berkata pengalaman berdepan Israel menunjukkan setiap langkah yang tidak menerima tindak balas serius sering diikuti tindakan lebih jauh, justeru isu Palestin tidak seharusnya tenggelam di sebalik konflik serantau yang lebih luas.