KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai peningkatan risiko kesihatan di seluruh Asia Barat apabila konflik berterusan mengancam akses kepada rawatan, mengganggu rantaian bekalan dan meningkatkan penularan penyakit berjangkit.
Dalam penilaian terkininya, WHO mengenal pasti pelbagai risiko termasuk kecederaan akibat trauma, gangguan akses penjagaan kesihatan bagi penduduk yang dipindahkan dan penularan penyakit di tempat perlindungan yang sesak, selain kebimbangan mengenai kekurangan air, pendedahan alam sekitar akibat serangan ke atas fasiliti tenaga dan kemungkinan insiden kimia, biologi, radiologi atau nuklear (CBRN).
WHO juga menegaskan bahawa serangan ke atas fasiliti penyimpanan minyak dan penapisan di Iran, Bahrain dan Arab Saudi menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran udara dan pendedahan alam sekitar di rantau lebih luas, manakala kekurangan bahan api boleh menambah tekanan ke atas sistem kesihatan.
Dalam Laporan Situasi Global Peningkatan Konflik Asia Barat yang dikeluarkan pada Khamis (26 Mac), WHO menyatakan serangan terhadap fasiliti kesihatan di beberapa negara telah mengakibatkan kematian petugas kesihatan dan mengurangkan akses rawatan, baik dalam jangka pendek mahupun jangka panjang.
“Gangguan rantaian bekalan, kenaikan kos pengangkutan dan ketidaktentuan pasaran tenaga boleh memberi kesan berganda kepada rantaian bekalan lain dan mungkin mengehadkan akses kepada ubat-ubatan serta bekalan penting,” menurut laporan itu.
Di Iran, WHO menyatakan sistem kesihatan masih beroperasi tetapi berada di bawah tekanan meningkat, dengan amaran mengenai risiko tinggi wabak campak dan kebimbangan kesihatan yang membimbangkan dalam kalangan penduduk yang dipindahkan.
“Pasukan WHO di Iran berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa kesihatan negara. Atas permintaan mereka, kami menyokong tindak balas dalam bidang kesihatan mental dan sokongan psikososial serta membantu perolehan vaksin utama, termasuk untuk polio, difteria, rotavirus dan hepatitis B,” menurut kenyataan itu.
Di Lubnan, WHO berkata sistem kesihatan ketika ini mampu menangani pengurusan kecederaan, triage dan rujukan, hasil daripada pelaburan terdahulu dalam latihan, perancangan dan pengurusan bekalan, tetapi memberi amaran ia boleh menghadapi tekanan lebih lanjut jika situasi meruncing.
Penduduk yang dipindahkan kekal menjadi kebimbangan kerana tekanan dan akses terhad kepada penjagaan kesihatan penting, dengan risiko penularan penyakit meningkat di tempat perlindungan sesak.
“Untuk menangani risiko ini, terutamanya di kawasan dengan akses terhad kepada air, sanitasi dan kebersihan, WHO menyokong pihak berkuasa kesihatan negara bagi memperkukuh sistem pengawasan dan amaran awal untuk membolehkan rawatan tepat pada masanya dan mengurangkan penularan penyakit,” katanya.
Sementara itu, WHO telah mengeluarkan AS$2 juta daripada Dana Kecemasan untuk Menyokong Tindak Balas bagi menyokong usaha di Lubnan, Iraq dan Syria.
WHO menambah bahawa di bawah Rayuan Kilat Lubnan (Mac-Mei 2026), sektor kesihatan memerlukan tambahan US$37 juta untuk mengekalkan penjagaan trauma, perkhidmatan penting, pengawasan penyakit dan sokongan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
-- BERNAMA