Skip to main content

Malaysia

ABIM iktiraf usaha kerajaan kekalkan subsidi petrol

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, ABIM -- Bernama
Ahmad Fahmi berkata ABIM mengiktiraf usaha kerajaan dalam mengekalkan kestabilan harga petrol serta melaksanakan langkah perlindungan seperti bantuan tunai dan sokongan kepada sektor logistik. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Komunikasi dasar kerajaan perlu diperkukuh secara lebih telus termasuk memperincikan rasional, impak sebenar serta langkah mitigasi bagi mengawal kesan rantaian kepada harga barangan dan perkhidmatan susulan penyelarasan sementara kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95).

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata dasar yang baik bukan sahaja melindungi majoriti, tetapi juga memastikan kelompok yang terkesan tidak dipinggirkan memandangkan keadilan tidak boleh diukur hanya dengan angka, sebaliknya dengan kesan sebenar kepada kehidupan rakyat.

“Keadilan dalam dasar bukan bermaksud semua menerima perkara yang sama, tetapi setiap kelompok dilindungi mengikut keperluan mereka. Dalam saat mencabar ini, keadilan mesti dirasai oleh semua, bukan sekadar majoriti.

“Jika majoriti dilindungi tetapi sebahagian kecil terhimpit, maka di situlah tanggungjawab dasar perlu diperhalusi dengan lebih jujur dan berani,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Fahmi berkata ABIM mengiktiraf usaha kerajaan dalam mengekalkan kestabilan harga petrol serta melaksanakan langkah perlindungan seperti bantuan tunai dan sokongan kepada sektor logistik.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khas mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata penyelarasan sementara itu dilaksanakan setelah kerajaan meneliti purata penggunaan BUDI95 kira-kira 100 liter sebulan dengan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, sekali gus tidak menjejaskan majoriti pengguna.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata dasar subsidi bukan sekadar instrumen fiskal, sebaliknya amanah keadilan sosial kerana walaupun kesan langsung mungkin terhad kepada kelompok tertentu, kesan tidak langsung seperti kenaikan kos logistik dan harga barangan tidak boleh dipandang ringan, memandangkan ia menyentuh kehidupan harian rakyat secara menyeluruh.

“Dalam konteks ini, pendekatan bersasar tidak boleh terlalu simplistik sehingga menyamakan penggunaan tinggi dengan penyelewengan. Sebahagian pengguna diesel terdiri daripada kelompok produktif ekonomi termasuk sektor logistik, perusahaan kecil, pemandu gig serta golongan semibandar yang bergantung kepada mobiliti harian.

“… kesan tidak langsung melalui rantaian logistik, pengangkutan dan harga barangan akhirnya dirasai oleh rakyat secara lebih meluas. Justeru, perbincangan awam perlu berasaskan fakta tanpa mengabaikan implikasi sebenar di lapangan,” katanya yang turut menyeru supaya rakyat berdisiplin dan berhemat dalam penggunaan tenaga.

Pada masa sama, beliau turut menyokong pendekatan diplomasi budiman Perdana Menteri dalam meredakan ketegangan antarabangsa termasuk melalui komunikasi langsung dan panggilan telefon dengan pemimpin negara lain kerana penyelesaian jangka panjang menuntut keamanan dan keadilan pada peringkat global.

-- BERNAMA

Must Watch Video