LONDON: United Kingdom (UK) dan Perancis akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat pelbagai negara membabitkan Menteri-Menteri Pertahanan pada Selasa (12 Mei) bagi membincangkan pelan ketenteraan untuk memulihkan aliran perdagangan melalui Selat Hormuz, menurut kerajaan Britain.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Iran memberi amaran kepada London dan Paris agar tidak menghantar kapal perang ke rantau tersebut.
Setiausaha Pertahanan UK, John Healey dijangka mempengerusikan bersama mesyuarat yang disertai lebih 40 negara itu bersama rakan sejawatannya dari Perancis, Menteri Catherine Vautrin, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Britain pada Ahad.
Mesyuarat secara maya itu diadakan susulan pertemuan selama dua hari di London pada April lalu yang menghimpunkan perancang ketenteraan bagi membincangkan secara terperinci pelaksanaan misi pelbagai negara pimpinan UK dan Perancis, bertujuan melindungi pelayaran di laluan strategik tersebut selepas satu gencatan senjata yang mampan dicapai.
“Kami sedang menterjemahkan persetujuan diplomatik kepada pelan ketenteraan yang praktikal bagi mengembalikan keyakinan industri perkapalan untuk melalui Selat Hormuz,” kata Healey.
Perkembangan ini berlaku ketika Perancis dan Britain telah menghantar kapal perang ke Asia Barat.
Perancis menghantar kapal induk berkuasa nuklear, Charles de Gaulle, ke rantau berkenaan, manakala UK pada Sabtu memaklumkan ia akan mengerahkan kapal pemusnah, HMS Dragon.
Kedua-dua negara menegaskan penempatan aset ketenteraan itu adalah sebagai langkah “pra-kedudukan” menjelang sebarang misi antarabangsa untuk membantu melindungi perkapalan.
Amaran Iran
Jurucakap Kementerian Pertahanan UK berkata kepada AFP bahawa penugasan HMS Dragon merupakan sebahagian daripada “perancangan berhemat” bagi memastikan Britain bersedia membantu mengamankan selat tersebut apabila keadaan mengizinkan.
Namun, sebelum itu, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi memberi amaran bahawa kapal perang Britain dan Perancis — “atau mana-mana negara lain” akan berdepan “tindak balas tegas serta-merta.”
“Sekuriti di selat ini hanya boleh diwujudkan oleh Republik Islam Iran,” katanya.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron kemudiannya berkata bahawa Perancis “tidak pernah membayangkan” penempatan ketenteraan laut di Selat Hormuz, sebaliknya, menekankan misi keselamatan yang akan “diselaraskan dengan Iran.”
Bercakap kepada wartawan di Nairobi, Macron berkata, beliau kekal dengan pendiriannya menentang sekatan oleh mana-mana pihak serta menolak sebarang bentuk kutipan bayaran bagi memastikan laluan perkapalan di perairan strategik itu kekal terbuka.
Britain dan Perancis bulan lalu memaklumkan bahawa perancangan bagi menjamin keselamatan Selat Hormuz semakin dimuktamadkan.
Kementerian Pertahanan UK berkata, penempatan HMS Dragon bertujuan meningkatkan keyakinan perkapalan komersial serta menyokong usaha pembersihan periuk api selepas konflik berakhir.
Sebelum konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran tercetus pada 28 Februari lalu, kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz.
Namun, aliran itu terganggu sejak konflik tercetus apabila Iran dilaporkan menutup sebahagian besar laluan tersebut, sekali gus mencetuskan ketidakstabilan pasaran global dan meningkatkan harga minyak.
Amerika Syarikat kemudiannya mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sebagai tindak balas. - Agensi