WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan beliau tidak terdesak untuk mencapai perjanjian dengan Iran, ketika usaha diplomasi dan ketenteraan AS di Asia Barat terus menjadi perhatian dunia.
Dalam mesyuarat Kabinet di White House – yang pertama sejak operasi bersama AS-Israel bermula – Trump sebaliknya, mendakwa, Iran kini dalam keadaan “teruk kalah” dan sedang “meminta” rundingan, biarpun Tehran sebelum ini menolak dakwaan tersebut.
Trump turut menepis laporan media yang menyatakan beliau sedang mencari jalan keluar daripada konflik yang berlarutan di Asia Barat, ketika harga minyak global melonjak dan tekanan politik domestik semakin kuat.
“Saya baca laporan kononnya saya terdesak untuk buat perjanjian. Tidak. Saya langsung tidak kisah,” katanya.
Dalam mesyuarat selama 90 minit itu, Trump berulang kali menyatakan kesediaan AS untuk “menghancurkan” Iran, namun pada masa sama mendakwa republik itu hampir berundur.
Beliau turut menyatakan operasi ketenteraan kini berjalan “lebih awal daripada jadual”, berdasarkan jangkaan awal empat hingga enam minggu sejak serangan bermula pada 28 Februari.
Trump mendakwa, Iran telah membenarkan 10 kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz sebagai isyarat kesediaan berunding, namun tidak menolak kemungkinan AS akan mempertimbangkan untuk mengambil alih minyak Iran sebagai langkah strategik.
Rundingan kabur, tekanan antarabangsa meningkat
Rundingan AS-Iran terus dibayangi ketidaktentuan sejak Trump mengumumkannya pada Isnin lalu, serta selepas beliau menangguhkan serangan ke atas loji tenaga Iran.
Tarikh akhir yang ditetapkan Washington untuk Iran membuka semula Selat Hormuz bakal berakhir pada Jumaat, namun Trump berkata, beliau mungkin akan mengubah keputusan itu “pada bila-bila masa.”
Utusan global AS, Steve Witkoff, turut mengesahkan Washington telah menghantar senarai tindakan 15 perkara melalui Pakistan sebagai asas rundingan dan melihat “tanda-tanda positif” Iran mungkin bersedia mencapai persetujuan.
Trump kecam NATO, gesa sekutu beri komitmen
Dalam sesi itu, Trump turut menyelar NATO dan sekutu Barat lain kerana enggan membantu dalam usaha mengamankan Selat Hormuz, yang menjadi laluan kira-kira 20 peratus minyak dan gas dunia.
Trump turut mempersenda kapal pengangkut pesawat Britain yang ditawarkan sebagai bantuan, dengan menyifatkannya sebagai “mainan” berbanding aset ketenteraan AS.
“Saya sudah bantu dunia. Tapi dunia tidak membalasnya. Dan itu akan menelan kos yang besar,” katanya.
Pentadbiran Trump pertahan tindakan ketenteraan
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth,memuji Trump kerana “melaksanakan tugas dunia bebas”, sambil menegaskan bahawa AS masih berharap rundingan dapat dicapai.
“Kami berdoa untuk sebuah perjanjian. Tapi sementara itu… rundingan kami berjalan dengan bom,” tegasnya.
Naib Presiden, JD Vance, yang sebelum ini lantang mengkritik campur tangan ketenteraan luar negara, turut mempertahankan tindakan Trump yang menurutnya bertujuan memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear. - Agensi