Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump janji perjanjian dengan Iran lebih baik berbanding zaman Obama

Barack Obama meets with Donald Trump to discuss transition plans in the White House Oval Office. REUTERS/Kevin Lamarque,
Presiden Trump menegaskan, sebarang perjanjian dengan Iran yang mungkin dicapainya akan berbeza sama sekali daripada perjanjian yang dimeterai di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama. - Gambar fail Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, sebarang perjanjian dengan Iran yang mungkin dicapainya akan berbeza sama sekali daripada perjanjian yang dimeterai di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama.

Trump berkata, sekiranya perjanjian itu dimeterai, ia akan menjadi satu perjanjian yang “baik dan sewajarnya”, berbeza dengan perjanjian sebelum ini yang menurutnya memberi laluan jelas kepada Iran untuk membangunkan senjata nuklear.

"Jika saya membuat perjanjian dengan Iran, ia akan menjadi perjanjian yang baik dan sewajarnya, bukan seperti yang dibuat oleh Obama,” katanya dalam hantaran di platform Truth Social.

Beliau turut mendakwa, perjanjian terdahulu telah membuka ruang luas kepada Iran untuk memiliki senjata nuklear.

Dalam masa sama, Trump menegaskan cadangan perjanjian yang sedang dirundingkan ketika ini adalah “bertentangan sepenuhnya” dengan Perjanjian Nuklear Iran atau Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) yang dimeterai sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui butiran penuh perjanjian tersebut masih belum diketahui umum dan rundingan juga belum dimuktamadkan sepenuhnya.

“Perjanjian kita adalah bertentangan sepenuhnya, tetapi tiada siapa yang melihatnya atau mengetahui kandungannya. Ia juga belum dimuktamadkan sepenuhnya.

“Jadi, jangan dengar pihak yang mengkritik sesuatu yang mereka sendiri tidak faham. Tidak seperti pihak sebelum ini yang sepatutnya menyelesaikan isu ini lebih awal, saya tidak membuat perjanjian yang buruk,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement