WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, negaranya tidak akan “tergesa-gesa” dalam memuktamadkan perjanjian dengan Iran, sambil menambah sekatan terhadap pelabuhan Iran akan terus dikuatkuasakan sepenuhnya sehingga persetujuan dicapai.
Menurut Trump, rundingan antara kedua-dua pihak kini berjalan secara teratur dan konstruktif, justeru tiada keperluan untuk mempercepatkan sebarang keputusan.
“Rundingan sedang berlangsung secara tersusun dan membina... saya telah mengarahkan wakil saya supaya tidak tergesa-gesa kerana masa memihak kepada kita.
“Kedua-dua pihak perlu mengambil masa dan memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat. Tidak boleh ada sebarang kesilapan. Hubungan kita dengan Iran kini menjadi lebih profesional dan produktif,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Ahad.
Dalam masa sama, Trump sekali lagi menegaskan, Iran perlu memahami bahawa negara itu tidak boleh membangunkan atau memperoleh senjata nuklear.
Pada Sabtu, beliau memaklumkan, satu perjanjian antara AS dan Iran telah “sebahagian besarnya dirundingkan”, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz - satu petunjuk kepada kemungkinan perkembangan positif bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Menurut sumber serantau yang mengetahui proses rundingan, perjanjian itu dijangka dilaksanakan dalam dua fasa.
Fasa pertama merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz kepada keadaan sebelum perang, dengan jaminan keselamatan perkapalan di rantau itu, selain komitmen Iran untuk tidak meneruskan pembangunan senjata nuklear.
Iran juga dijangka dibenarkan menyambung semula jualan bahan api dan minyak.
Fasa kedua pula, yang dijangka berlangsung antara 30 hingga 60 hari, akan memberi tumpuan kepada rundingan terperinci berkaitan isu nuklear serta perkara lain yang lebih luas. - Agensi