WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa ia telah menggugurkan beberapa bom seberat 2,267 kilogram (kg) jenis 'deep penetrator munitions' dalam serangan terbaharu yang menyasarkan tapak peluru berpandu Iran di sepanjang pesisir pantai negara itu berhampiran Selat Hormuz.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh US Central Command (CENTCOM), serangan itu bertujuan memusnahkan lokasi peluru berpandu antikapal milik Iran yang didakwa mengancam keselamatan pelayaran antarabangsa di selat strategik tersebut.
Dalam satu hantaran di platform media sosial, CENTCOM menjelaskan bahawa peluru berpandu anti-kapal Iran di tapak berkenaan “menimbulkan risiko kepada kapal dagang antarabangsa yang melalui Selat Hormuz”.
Serangan udara tersebut dilaporkan menggunakan beberapa bom penembus konkrit berkeupayaan tinggi yang direka untuk menembusi struktur keras dan kubu bawah tanah, satu kaedah yang kerap digunakan bagi mensasarkan kemudahan ketenteraan yang diperkuatkan.
Hours ago, U.S. forces successfully employed multiple 5,000-pound deep penetrator munitions on hardened Iranian missile sites along Iran’s coastline near the Strait of Hormuz. The Iranian anti-ship cruise missiles in these sites posed a risk to international shipping in the… pic.twitter.com/hgCSFH0cqO
— U.S. Central Command (@CENTCOM) March 17, 2026
Tindakan ini berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan di Asia Barat, susulan siri serangan balas antara Iran, Israel, dan AS sejak akhir Februari.
Selat Hormuz, laluan kritikal yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak global, menjadi fokus kerisauan antarabangsa apabila kedua-dua pihak meningkatkan operasi ketenteraan di kawasan tersebut.
Setakat ini, Iran belum mengeluarkan maklum balas rasmi mengenai serangan tersebut, namun penganalisis menjangkakan tindakan balas mungkin menyusul memandangkan kepentingan strategik tapak peluru berpandu di wilayah itu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Iran telah mengukuhkan pertahanannya dan meningkatkan kerahan aset ketenteraan sepanjang pesisirnya, menurut laporan keselamatan rantau itu.
Serangan oleh tentera AS ini menandakan satu lagi peningkatan signifikan dalam konflik berterusan, dengan Washington menegaskan bahawa langkah itu adalah “pertahanan proaktif” bagi memastikan keselamatan laluan perkapalan antarabangsa.