TEHRAN: Gabenor Tehran mengumumkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara Iran itu akan disediakan secara percuma kepada penduduk sepanjang tempoh peperangan yang sedang berlaku.
Memetik laporan agensi berita Tasnim, langkah drastik tersebut diambil bagi mengurangkan beban kewangan rakyat serta sebagai strategi pengurusan penggunaan bahan api negara yang kini berada dalam keadaan kritikal.
“Polisi ini bertujuan menyokong orang awam dan menguruskan penggunaan bahan api di tengah-tengah situasi semasa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Langkah ini menyusul selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas infrastruktur tenaga Iran yang mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan petrol domestik di seluruh rantau Asia Barat.