WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) telah menyerahkan satu pelan 15 perkara kepada Iran dalam usaha menamatkan konflik di Asia Barat, menurut laporan Reuters yang memetik sumber rapat dengan rundingan itu.
Pelan berkenaan terlebih dahulu didedahkan oleh The New York Times dan disampaikan kepada Teheran melalui Pakistan.
Bagaimanapun, kedudukan Israel dalam pelan tersebut masih menjadi tanda tanya.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon, menegaskan, beliau “tidak mengetahui” sebarang penglibatan Israel dalam rundingan antara AS dan Iran setakat ini.
Menurut laporan, pelan itu menumpukan kepada program peluru berpandu balistik serta nuklear Iran, selain keselamatan laluan maritim strategik termasuk Selat Hormuz.
Media Israel, Channel 12 melaporkan, Washington mencadangkan gencatan senjata selama sebulan sebagai ruang untuk rundingan lebih mendalam.
Antara syarat yang difahamkan terkandung dalam pelan itu termasuk:
- Iran perlu menyerahkan semua uranium yang telah diperkaya serta menghentikan aktiviti pengayaan baharu
- Pembongkaran sepenuhnya keupayaan nuklear sedia ada
- Penghentian pembiayaan dan persenjataan kumpulan proksi di rantau berkenaan
- Selat Hormuz diisytiharkan sebagai zon pelayaran bebas dan kekal terbuka.
Sebagai balasan, laporan itu menyebut, Tehran bakal menikmati penamatan semua sekatan ekonomi oleh AS - sekatan yang telah menekan ekonomi Iran bertahun-tahun.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini mendakwa, rundingan sedang berlangsung dan Iran “mahu membuat perjanjian,” termasuk bersetuju menghentikan usaha mendapatkan senjata nuklear.
Namun, laporan CBS News memetik pegawai Kementerian Luar Iran yang hanya mengesahkan mereka menerima “beberapa cadangan” melalui perantara untuk diteliti, tanpa mengesahkan sebarang rundingan langsung dengan Washington. - Agensi