Skip to main content

Advertisement

Politik

PKR pandang serius dakwaan ‘mafia korporat’ libatkan kepimpinan parti, tidak gentar ambil tindakan tegas

71737903644_FuziahSalleh.jpg
Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadap kepimpinan parti tanpa sebarang asas yang sahih. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius dakwaan yang tular kebelakangan ini yang cuba mengaitkan kepimpinan parti dengan tuduhan menerima sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan urusan berkaitan kepentingan tertentu, termasuk dakwaan melibatkan elemen “mafia korporat”.

Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadap kepimpinan parti tanpa sebarang asas yang sahih.

“KEADILAN ingin menegaskan bahawa tuduhan seumpama ini amat mudah untuk dibuat, lebih-lebih lagi oleh pihak-pihak yang terdesak untuk melepaskan diri daripada kesalahan atau salah laku mereka sendiri.

“Justeru, sebarang dakwaan yang dilemparkan tanpa bukti kukuh tidak wajar dilayan sebagai fakta, apatah lagi dijadikan bahan untuk mencemarkan reputasi individu atau parti.

“Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam mahupun di luar parti,” katanya.

Ujar Fuziah, PKR kekal komited untuk mempertahankan integriti kepimpinan serta memastikan sebarang tuduhan yang dibangkitkan ditangani melalui saluran yang sah dan berlandaskan fakta, bukannya persepsi atau agenda tertentu.

“Sehubungan itu, semua pihak diseru agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan penyebaran dakwaan yang tidak disahkan yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kestabilan politik negara,” jelasnya.

Terdahulu pada Selasa, seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Victor Chin, mendakwa seorang Ahli Parlimen daripada PKR telah meminta RM10 juta daripadanya pada Oktober 2025, kononnya bagi membantu menyelesaikan masalah undang-undangnya melalui pihak yang digelar sebagai ‘mafia korporat’.

Menurut Victor, dia telah membayar RM9.5 juta daripada jumlah tersebut, namun kini menuntut bayaran balik penuh selepas masalah berkenaan gagal diselesaikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan menafikan dakwaan beliau menerima saham bernilai jutaan ringgit daripada Victor sambil menyifatkan tuduhan itu sama sekali tidak berasas dan tidak masuk akal.

Penafian itu dibuat susulan dakwan 'Mr.R' yang dikaitkan dengan beliau dalam isu tersebut.

Menurut Ramanan, tiada mana-mana Ahli Parlimen boleh terlibat dalam transaksi saham bernilai ratusan juta ringgit tanpa pengetahuan dan pengawasan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia.

Must Watch Video