Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Senat AS tolak usaha hentikan operasi ketenteraan AS terhadap Iran

FILE PHOTO: The U.S. Capitol building, on day three of a partial government shutdown, in Washington, D.C., U.S., February 2, 2026. REUTERS/Al Drago/File Photo
Usaha Demokrat untuk menghentikan tindakan ketenteraan pentadbiran Donald Trump terhadap Iran gagal apabila 47 menyokong usul dan 53 lagi menolak, sekali gus menunjukkan sokongan awal Republikan terhadap operasi ketenteraan yang semakin berkembang di Asia Barat tanpa strategi keluar yang jelas. - Gambar hiasan

WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) menolak usul untuk menghentikan operasi ketenteraan Presiden Donald Trump terhadap Iran selepas majoriti Senator Republikan mengundi menentangnya. 

Keputusan itu membolehkan tindakan ketenteraan diteruskan walaupun terdapat kebimbangan bahawa konflik semakin merebak di Asia Barat tanpa strategi keluar yang jelas.

Parti Demokrat sebelum ini mendesak agar sebarang tindakan lanjut memerlukan kelulusan Kongres, namun undian 47 menyokong dan 53 menolak menggagalkan usaha tersebut. 

Sementara itu, pentadbiran Trump menjangka operasi boleh berlarutan sehingga lapan minggu, dengan Iran masih berupaya melancarkan serangan balas.

Usul tersebut, yang dibentangkan sebagai war powers resolution, bertujuan memastikan sebarang tindakan ketenteraan tambahan memerlukan kelulusan Kongres. 

Situasi tegang itu turut menyaksikan senator-senator Demokrat memenuhi dewan dan kekal berada di tempat duduk masing‑masing sewaktu undian berlangsung — satu simbol bahawa isu tersebut membawa implikasi besar terhadap anggota tentera Amerika Syarikat serta kestabilan rantau berkenaan.

Ketua Minoriti Demokrat, Chuck Schumer sebelum ini menegaskan bahawa undian itu menentukan sama ada Kongres akan berpihak kepada rakyat yang semakin letih dengan konflik berpanjangan di Asia Barat atau menyokong keputusan Trump meneruskan tindakan ketenteraan tanpa mandat Kongres.

Republikan bagaimanapun mempertahankan pendirian mereka dengan Senator John Barrasso menegaskan bahawa langkah Demokrat itu hanya akan melemahkan usaha memusnahkan keupayaan nuklear Iran. 

Republikan menegaskan, Presiden mempunyai kuasa yang mencukupi untuk bertindak bagi melindungi kepentingan keselamatan negara.

Ketegangan memuncak selepas serangan mengejut Amerika Syarikat terhadap Iran pada Sabtu lalu, yang mendorong pentadbiran Trump untuk memberikan taklimat berkala kepada Kongres. 

Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth menjangkakan operasi ketenteraan tersebut mungkin berlarutan sehingga lapan minggu dan mengakui bahawa Iran masih berupaya melancarkan serangan peluru berpandu walaupun ruang udara negara itu sedang dikawal oleh AS. - Agensi

Must Watch Video