Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Sekatan ditarik balik, UAE buka semula ruang udara sepenuhnya

61641103729_emiratesplane.jpg
Emirates dan Etihad Airways dijangka menyusun semula jadual penerbangan mereka ke destinasi terjejas dalam masa terdekat. -Gambar fail

DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan pembukaan semula sepenuhnya ruang udara negara bermula Sabtu, selepas menarik balik semua sekatan keselamatan yang dikenakan sejak tercetusnya konflik di Asia Barat baru‑baru ini.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kebangsaan (GCAA), keputusan tersebut dibuat susulan penilaian menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan operasi, dengan kerjasama agensi berkaitan di seluruh negara.

Pemulihan penuh ruang udara ini menandakan kembalinya operasi perjalanan udara seperti biasa.

Sekatan tersebut mula dilaksanakan pada 28 Februari, selepas UAE antara negara Teluk yang terjejas akibat serangan dron dan peluru berpandu susulan konflik melibatkan AS, Israel dan Iran.

Antara langkah keselamatan yang diambil termasuk pengehadkan laluan transit melalui ruang udara Iran dan had kekerapan penerbangan asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB).

Walaupun sekatan telah ditarik balik sepenuhnya, GCAA menegaskan bahawa pemantauan masa nyata akan terus dijalankan bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi bagi setiap pesawat.

Langkah UAE ini menyusul selepas negara jiran seperti Bahrain, Iraq, Kuwait, dan Syria turut mengambil tindakan serupa sebaik sahaja gencatan senjata antara AS dan Iran mula berkuat kuasa pada 8 April lalu.

Pemulihan penuh ini dijangka memberi kelegaan besar kepada syarikat penerbangan global, terutamanya laluan jauh dari Asia dan Australia ke Eropah, yang sebelum ini terpaksa menjalani lencongan jauh.

Syarikat tempatan seperti Emirates dan Etihad Airways dijangka menyusun semula jadual penerbangan mereka ke destinasi terjejas dalam masa terdekat.

Must Watch Video