Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Saluran diplomasi kekal terbuka meskipun rundingan gagal - Kementerian Luar Iran

 Esmaeil Baghaei Hamaneh_https://en.mfa.gov.ir/portal
Esmaeil Baghaei (foto) berkata jentera diplomatik kekal sebagai instrumen utama dalam memelihara kedaulatan negara, dan rundingan antara Iran, Pakistan serta negara‑negara jiran lain akan diteruskan pada masa hadapan. -Gambar fail

ISLAMABAD: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menegaskan bahawa saluran diplomasi akan tetap diteruskan bagi melindungi kedaulatan negara itu meskipun pusingan rundingan damai di Pakistan berakhir tanpa sebarang perjanjian konkrit.

Menerusi satu hantaran di platform X, Baghaei menyifatkan usaha diplomatik tersebut sebagai kesinambungan kepada perjuangan mempertahankan tanah air selain mengingatkan dunia mengenai sejarah pelanggaran janji oleh Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.

“Diplomasi bagi kami adalah kesinambungan jihad suci para pembela tanah air Iran.

"Kami tidak lupa dan tidak akan melupakan pengalaman pelanggaran janji serta tindakan berniat jahat Amerika, sebagaimana kami tidak akan memaafkan jenayah kejam yang dilakukan oleh mereka dan rejim Zionis sepanjang tempoh peperangan yang dipaksakan ini,” katanya.

 

 

Baghaei turut memperincikan bahawa sepanjang 24 jam rundingan intensif berlangsung, pelbagai dimensi topik utama telah dibincangkan termasuk isu Selat Hormuz, program nuklear, pampasan perang, penarikan sekatan ekonomi serta penamatan sepenuhnya peperangan terhadap Iran dan wilayah sekitarnya.

Beliau berkata kejayaan proses diplomatik ini bergantung sepenuhnya kepada keseriusan dan niat jujur pihak lawan, serta kesediaan mereka untuk mengelak daripada tuntutan melampau yang menyalahi undang-undang antarabangsa.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sejurus selepas delegasi Iran yang diketuai Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf dan Menteri Luar Abbas Araghchi berlepas pulang dari Islamabad selepas Naib Presiden AS, JD Vance memaklumkan bahawa tuntutan Washington telah ditolak oleh pihak Tehran.

Meskipun rundingan berdepan kebuntuan, Baghaei menzahirkan penghargaan tertinggi kepada kerajaan dan rakyat Pakistan atas usaha murni mereka menjadi pengantara sepanjang proses yang mencabar tersebut.

Must Watch Video