Skip to main content

Malaysia

PM Australia, Anthony Albanese diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Sumber: Astro AWANI
Perdana Menteri Anthony Albanese memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat), yang diketuai oleh Mejar Muhammad Firdaus Mat Hayin. - Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, di sini, hari ini.

Ketibaan Albanese pada pukul 9.56 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan majlis sambutan rasmi dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Australia itu kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat), yang diketuai oleh Mejar Muhammad Firdaus Mat Hayin.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, anggota-anggota Kabinet, diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.

Selepas upacara sambutan, Albanese menandatangani buku pelawat diikuti pertemuan empat mata dengan Anwar serta pertemuan dua hala yang melibatkan menteri kanan dan pegawai dari kedua-dua negara.

Wisma Putra dalam kenyataan Rabu memaklumkan, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan mengenai isu konflik di Asia Barat dan kerjasama dalam memastikan keterjaminan tenaga dan rantaian bekalan.

Perbincangan dijangka tertumpu pada usaha untuk mengekalkan aliran bekalan penting yang stabil, termasuk bahan api, di tengah-tengah cabaran ekonomi dan geopolitik global yang sentiasa berubah.

Selain itu, turut akan diadakan adalah pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai Perkongsian Starategik Daging Merah Halal (SHRP) antara kedua-dua negara, perjanjian antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia (DAFF) untuk memperkemas proses audit dan meningkatkan akses kepada daging halal.

Australia merupakan rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia dengan berada pada kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia pada 2025, merekodkan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (AS$18.38 bilion).

Pada masa sama, Malaysia adalah pembekal utama bahan api kepada Australia, merangkumi kira-kira 17 peratus daripada jumlah import bahan api Australia.

Pesawat khas yang dinaiki Albanese dan delegasinya mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada 5.15 petang, semalam.

Must Watch Video