JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto menggesa semua pihak meningkatkan tahap kewaspadaan dan menggunakan tenaga secara berhemat ketika kerajaan menjangkakan risiko lebih luas terhadap bekalan minyak global berpunca daripada perkembangan geopolitik di Asia Barat.
Beliau memberi amaran bahawa ketegangan yang berpanjangan, termasuk risiko keselamatan di Selat Hormuz, akan terus mengganggu bekalan minyak dan boleh melonjakkan harga minyak mentah sehingga mencecah US$200 setong.
Rakyat Indonesia mungkin perlu mengurangkan penggunaan bahan api sebagai langkah berjaga-jaga, katanya semasa perbincangan meja bulat bersama wartawan kanan daripada organisasi media tempatan utama yang diadakan di kediamannya di Hambalang, Jawa Barat, baru-baru ini.
“Tahun ini kita benar-benar perlu berwaspada. Sama ada kita suka atau tidak, kita perlu mengurangkan penggunaan bahan api,” katanya.
Di tengah-tengah ketidaktentuan luaran itu, Presiden berkata Indonesia telah merangka beberapa langkah kontingensi bagi membantu mengurangkan kesan domestik, termasuk rancangan untuk meningkatkan pengeluaran arang batu, khususnya bagi penjanaan elektrik, walaupun mengakui kesan negatifnya terhadap alam sekitar.
Beliau berkata kerajaan juga mempergiat langkah kecekapan bagi melindungi kedudukan kewangan negara, selaras dengan komitmen untuk mengekalkan disiplin fiskal di bawah Belanjawan Negara (APBN), termasuk mengekalkan defisit dalam had statutori sekitar tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Beliau menegaskan bahawa perbelanjaan penting, khususnya bagi pendidikan dan operasi teras kerajaan, tidak akan terjejas, manakala pengurangan perbelanjaan akan tertumpu kepada perkara seperti majlis rasmi berlebihan, perolehan dan program tidak penting.
Beliau berkata pengurangan perbelanjaan tidak produktif dan tidak penting dalam usaha kecekapan kerajaan setakat ini telah menghasilkan penjimatan kira-kira Rp308 trilion (US$18.15 bilion).
Prabowo turut menyatakan bahawa Nisbah Output Modal Tambahan (ICOR) Indonesia kekal lebih tinggi berbanding negara serantau, menunjukkan kecekapan ekonomi yang lebih rendah, dengan negara itu dianggarkan kira-kira 30 peratus kurang cekap berbanding beberapa ekonomi jiran.
Presiden itu turut menggariskan pelan jangka panjang untuk meningkatkan elektrifikasi, memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta memanfaatkan sumber seperti arang batu dan minyak sawit bagi menyokong peralihan tenaga serta menjadi pengubah keadaan dalam memperkukuh daya tahan Indonesia terhadap ketidaktentuan harga global.
-- BERNAMA