BEIRUT: Pemimpin Hezbollah, Naim Qassem, pada Isnin (3 Apr) menggesa Lubnan membatalkan mesyuarat yang dirancang dengan Israel di Washington hari ini, sambil mengulangi penolakan kumpulannya terhadap rundingan secara langsung dengan musuhnya itu.
“Kami menolak rundingan dengan entiti Israel yang merampas … kami menyeru satu pendirian bersejarah dan berani dengan membatalkan mesyuarat rundingan ini,” kata Qassem dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen.
Kumpulan sokongan Iran itu telah terlibat dalam peperangan dengan Israel sejak 2 Mac lalu.
Duta Lubnan dan Israel ke Amerika Syarikat dijadualkan bertemu di Washington pada Selasa bagi membincangkan kemungkinan mengadakan rundingan secara langsung antara kedua-dua negara.
Pihak berkuasa Lubnan sebelum ini menegaskan, Beirut mahu memastikan satu gencatan senjata dalam perang antara Israel dan Hezbollah terlebih dahulu.
Namun Israel menolak cadangan itu dengan menyatakan keutamaannya adalah untuk memberi tumpuan kepada rundingan damai rasmi dengan Lubnan, yang secara teknikal masih berada dalam keadaan perang dengan Israel sejak beberapa dekad lalu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Sabtu berkata: “Kami mahukan perlucutan senjata Hezbollah dan kami mahukan satu perjanjian damai sebenar yang akan berkekalan untuk beberapa generasi.”
Bagaimanapun, Qassem berkata, “rundingan ini sia-sia dan memerlukan persetujuan serta konsensus Lubnan.”
Ratusan penyokong Hezbollah mengadakan protes pada Jumaat dan Sabtu bagi membantah rundingan yang dirancang itu, sambil menuduh Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, sebagai seorang “Zionis.”
Serangan Israel telah mengorbankan lebih 2,000 orang di Lubnan dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal sejak Hezbollah menarik negara itu ke dalam peperangan di Asia Barat.
“Kami tidak akan menyerah kalah, kami akan terus berada di medan sehingga hembusan nafas terakhir,” kata Qassem ketika para pejuangnya berhadapan dengan kemaraan tentera Israel yang bertujuan mewujudkan “zon keselamatan” di selatan Lubnan.
Tentera Israel pada Isnin berkata, tenteranya telah mengepung sepenuhnya bandar utama di selatan, Bint Jbeil, sementara Hezbollah terus mendakwa telah melancarkan serangan terhadap pasukan Israel di kawasan tersebut.
Qassem berkata, kawasan penempatan di utara Israel “tidak akan selamat, walaupun tentera Israel memasuki mana-mana kawasan di Lubnan.”
Beliau turut menuduh Beirut “menikam dari belakang” kumpulannya selepas mengisytiharkan aktiviti ketenteraan Hezbollah sebagai haram pada peringkat awal perang.
“Israel dan Amerika Syarikat dengan jelas menyatakan mereka mahu mengukuhkan tentera Lubnan untuk melucutkan senjata dan memerangi Hezbollah … tetapi tentera itu tidak mampu berbuat demikian,” tambah Qassem. - Agensi