Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Netanyahu arah tentera perluas pencerobohan ke selatan Lubnan

Israeli soldiers gather on the Israeli side of the border with Lebanon, amid escalation between Hezbollah and Israel, and amid the US-Israeli conflict with Iran, in northern Israel, March 16, 2026 [Shir Torem/Reuters]
Netanyahu telah mengarahkan tenteranya untuk terus memperluas pencerobohan ke selatan Lubnan, ketika ketegangan serantau meningkat dalam perang Amerika Syarikat (AS)–Israel terhadap Iran. - Foto REUTERS

JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengarahkan tenteranya untuk terus memperluas pencerobohan ke selatan Lubnan, ketika ketegangan serantau meningkat dalam perang Amerika Syarikat (AS)–Israel terhadap Iran

“Saya baru sahaja mengarahkan supaya zon penampan keselamatan yang sedia ada diperluaskan lagi. Kami berazam untuk mengubah secara fundamental situasi di utara [Israel],” kata Netanyahu dalam satu kenyataan video dari Komando Utara pada Ahad, selaras dengan usaha negaranya untuk meniru apa yang digelar “model Gaza” bagi pendudukan.

Pengumuman Netanyahu dibuat ketika pasukan Israel mara di pelbagai kawasan di selatan Lubnan, dalam usaha terancang untuk menuju ke Sungai Litani bagi mengusir Hezbollah, yang memasuki perang lebih luas dengan Iran pada awal Mac melalui serangan balas terhadap Israel selepas pembunuhan bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Melaporkan dari Tyre di selatan Lubnan, wartawan Al Jazeera, Obaida Hitto berkata, pertempuran antara Hezbollah dan Israel telah “berlaku dengan lebih sengit” sejak beberapa jam lalu. Beliau berkata pasukan Israel telah sampai ke sebuah anak sungai Litani yang terletak di selatan bandar Qantara, di bahagian timur berhampiran al‑Muhaysibat.

Hitto menyifatkan perkembangan itu sebagai satu “perubahan strategik besar.”

“Anak sungai yang mereka capai di selatan Qantara itu hanya beberapa kilometer, dan di beberapa tempat hanya beberapa ratus meter daripada Sungai Litani yang sebenar,” katanya.

“Jadi ini akan menjadi pertempuran besar, berdasarkan apa yang kami dengar daripada Hezbollah.”

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 1,238 orang telah terbunuh sejak Lubnan terseret ke dalam perang pada 2 Mac. 

Angka itu termasuk 124 kanak-kanak, manakala lebih 3,500 orang cedera, menurut kenyataan kementerian. 

Pada Sabtu dan Ahad sahaja, 49 orang terbunuh termasuk 10 anggota penyelamat dan tiga wartawan.

Melaporkan dari Beirut, Zeina Khodr dari Al Jazeera berkata, tidak ada “sebarang pengurangan dalam serangan Israel.”

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengatakan lebih 1.2 juta orang telah dipindahkan.

Upacara pengebumian tiga wartawan

Ratusan orang berkumpul pada Ahad di Choueifat, selatan Beirut, untuk upacara pengebumian tiga wartawan yang terbunuh akibat serangan udara Israel ketika membuat liputan perang — satu serangan yang dikecam Lubnan sebagai “jenayah terang-terangan.”

Serangan Israel pada Sabtu ke atas kenderaan wartawan di bandar Jezzine membunuh Ali Shoeib, wartawan veteran saluran Al-Manar milik Hezbollah; Fatiman Ftouni dari saluran pro-Hezbollah Al Mayadeen; serta abangnya, jurukamera Mohammad Ftouni.

Tentera Israel mengatakan mereka telah membunuh Shoeib dalam serangan yang disasarkan. 

Dengan menuduhnya sebagai “pengganas”, Israel mendakwa tanpa bukti bahawa beliau merupakan ejen risikan Hezbollah dan menuduhnya melaporkan lokasi tentera Israel di Lubnan.

Pihak tentera Israel tidak mengulas mengenai pembunuhan Ftouni dan abangnya.

Di dalam hujan renyai-renyai, ketiga-tiga mereka dikebumikan di tanah perkuburan sementara – satu amalan biasa pada waktu perang apabila mayat tidak dapat dibawa pulang ke kampung halaman.

“Fatima dan Ali adalah wira,” kata seorang saudara Ftouni yang hanya mahu dikenali sebagai Qassem kepada agensi berita AFP.

Obaida Hitto dari Al Jazeera berkata, suasana di selatan Lubnan dipenuhi “kesedihan, tetapi juga semangat melawan." 

“Ketika orang ramai meratapi kematian wartawan-wartawan ini, mesej dari komuniti media jelas: mereka tidak akan gentar; mereka akan terus melapor tanpa henti,” katanya.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot berkata kepada penyiar awam France 3 pada Ahad bahawa wartawan di zon perang “tidak boleh sekali-kali dijadikan sasaran” termasuk apabila mereka “mempunyai hubungan dengan pihak-pihak yang berperang.”

“Jika benar wartawan-wartawan ini disasarkan secara sengaja oleh tentera Israel, maka ini merupakan perkara yang amat serius dan satu pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa,” kata Barrot.

Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) telah merekodkan sekurang-kurangnya 11 pembunuhan wartawan dan pekerja media Lubnan oleh Israel sejak bermulanya permusuhan antara Israel dan Hezbollah pada 2023 - permusuhan yang sepatutnya berakhir dengan gencatan senjata November 2024, namun telah berulang kali dilanggar oleh Israel.

Di Semenanjung Gaza, di mana Israel berperang dengan kumpulan bersenjata Palestin Hamas dari Oktober 2023 hingga gencatan senjata Oktober 2025 yang turut berulang kali dicabuli, 210 wartawan dan pekerja media Palestin telah terbunuh oleh tentera Israel, menurut CPJ. - Agensi
 

Must Watch Video